Page 38 - 9. Pameran Maya Sambutan Kemerdekaan & Hari Malaysia MOF - Penubuhan Malaysia - Ilham Berwawasan
P. 38
Pada tarikh yang sama, Upacara Pemasyhuran Malaysia diadakan di negeri Borneo Utara
(kini Sabah) bertempat di padang Bandar Jesselton (kini Kota Kinabalu). Tun Abdul Razak
hadir pada upacara ini bagi mewakili Persekutuan Tanah Melayu. Bendera Malaysia dan
bendera negeri Sabah dikibarkan dengan iringan lagu kebangsaan di hadapan Gabenor
Negeri Sabah, Datu Mustapha bin Datu Harun. Pada upacara bersejarah ini salinan serta
terjemahan dokumen Pemasyhuran Malaysia yang ditandatangani oleh Tunku Abdul
Rahman dibaca kepada para hadirin dalam empat Bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa
Melayu, Bahasa Kadazan dan Bahasa Cina. Ketua Menteri Sabah yang pertama, Tuan
Donald Stephen telah membacakan salinan tersebut dalam Bahasa Inggeris, manakala
Encik Harris Mohd Salleh iaitu salah seorang ahli Jemaah Menteri Sabah membacakan
terjemahan dokumen berkenaan dalam Bahasa Melayu.
Di Sarawak, upacara ini berlangsung di Padang Central (kini Padang Merdeka) di Kuching.
Encik Mohd Khir Johari, Menteri Pertanian dan Koperasi mewakili Persekutuan Tanah
Melayu membacakan Pemasyhuran Malaysia. Majlis kemudiannya diikuti dengan upacara
mengangkat sumpah oleh Gabenor Negeri Sarawak, Tun Abang Haji Openg dan Ketua
Menteri, Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan. Lebih 3,000 rakyat pelbagai kaum
dengan pakaian berwarna warni menyaksikan pengisytiharan rasmi penubuhan Malaysia
dan kibaran bendera Malaysia buat pertama kalinya dengan iringan lagu kebangsaan.

