Page 5 - Pendidikan_Seni_Visual_Tingkatan_1
P. 5
Buku Teks Pendidikan Seni Visual Tingkatan 1 ini ditulis berdasarkan Dokumen Standard
Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Pendidikan Seni Visual Tingkatan 1. Kandungan Kurikulum
Standard Sekolah Menengah (KSSM) Pendidikan Seni Visual terbahagi kepada tiga bidang
utama pembelajaran iaitu Sejarah dan Apresiasi Seni Visual, Bahasa Seni Visual dan Pemikiran
Seni Visual. Pernyataan Standard Kandungan ini merupakan pernyataan spesifik tentang
perkara-perkara yang murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam suatu tempoh persekolahan
merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai. Standard Pembelajaran pula merupakan
suatu penetapan kriteria atau indikator kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur
secara lebih spesifik bagi setiap standard kandungan.
Buku ini memberi penekanan kepada strategi pengajaran dan pembelajaran dalam Pendidikan
Seni Visual. Aktiviti dalam buku ini mampu mencungkil bakat dan kemahiran murid dalam
bidang seni visual. Pengetahuan yang diperoleh melalui penerokaan yang dilakukan oleh murid
diterjemahkan menggunakan imaginasi dan idea yang kreatif dan inovatif. Murid juga didedahkan
dengan aspek designomic dalam Pemikiran Seni Visual.
Elemen Merentas Kurikulum (EMK) turut diterapkan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran Pendidikan Seni Visual terutama dalam penggunaan bahasa pengantar yang
betul dan tepat. Nilai-nilai murni dan semangat patriotik juga turut disemai di samping ciri-ciri
penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam proses pembelajaran.
Elemen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) juga diberi penekanan dalam buku ini.
Konsep ini bertujuan menerapkan ciri-ciri berfikir secara kreatif, kritis dan inovatif agar murid
mampu menganalisis, menilai dan mereka cipta sesuatu karya. Penggunaan peta pemikiran turut
dimasukkan dalam buku ini seiring dengan Kemahiran Abad ke-21.
Sidang Pengarang
v

