Page 5 - KONVOKESYEN PKB KE - 34
P. 5
KATA ALUAN PENGARAH
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.
Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama mengucapkan syukur ke
hadrat Allah SWT kerana telah menganugerahkan kita rezeki
kesihatan dan keupayaan untuk sama-sama menyempurnakan
dan meraikan Majlis Konvokesyen Politeknik Kota Bharu ke-34.
Segunung ucapan tahniah dan berbanyak terima kasih saya
ucapkan kepada seluruh warga Politeknik Kota Bharu yang
telah berusaha bersungguh-sungguh dan tidak pernah
mengenal perit jerih demi merealisasikan impian para graduan
kita dan ibu bapa sepanjang pengajian anak-anak mereka
disini. Sekalung penghargaan juga turut ditujukan kepada
seluruh warga kerja majlis konvokesyen Politeknik Kota Bharu
ke-34 kerana telah bertungkus-lumus memastikan
kesempurnaan majlis bagi meraikan kejayaan para graduan,
para pendidik serta pengorbanan ibu bapa yang telah berjaya
membentuk insan intelek masa hadapan yang murni
sahsiahnya.
Tema Majlis Konvokesyen Politeknik Kota Bharu kali ini adalah ’Graduan TVET
Pendukung Revolusi Industri’. Ini amat bertepatan dengan situasi global yang kini
sedang berada di dalam era Revolusi Industri 4.0. Ia merupakan era industri digital
yang melibatkan automasi robot dan keperluan tenaga kerja teknikal yang
berkemahiran tinggi. Pemerkasaan Sistem Pendidikan Teknikal & Latihan (TVET)
serta pengukuhan program akademik Sains, Teknologi, Kejuruteraan & Matematik
(STEM) dilihat merupakan langkah yang amat wajar kerana kedua-dua bidang ini
akan membantu negara didalam membentuk modal insan kearah pembentukan
teknologi baru agar para graduan kita mampu menangani cabaran masa depan
yang dilihat bakal menjadi lebih kompetitif.
Konvokesyen ini adalah merupakan titik permulaan bagi para graduan mengorak
langkah ke satu tahap yang lebih tinggi dan memahami erti dan cara kehidupan
berkerjaya. Bagi mereka yang sudah atau akan memasuki alam pekerjaan, anda
perlulah menyiapkan diri secara mental dan fizikal bagi memenuhi keperluan
majikan.
Akhir kalam, saya sekali lagi mengucapkan selamat maju jaya dan tahniah kepada
para graduan sekalian. Semoga Allah sentiasa memberkati dan merahmati anda
semua dalam setiap bidang yang diceburi pada masa hadapan. Sekian, Wabillahi
Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.
ROSLI BIN IDRIS
Pengarah
Politeknik Kota Bharu
4

