Page 10 - MODUL PEMBELAJARAN MPV PRODUKSI MULTIMEDIA T4
P. 10
PENGENALAN
Mata pelajaran Produksi Multimedia ialah mata pelajaran yang ditawarkan di sekolah di
bawah Mata Pelajaran Vokasional (MPV). Mata Pelajaran ini ditawarkan di peringkat
menengah atas bagi memenuhi keperluan latihan kerjaya dalam era Teknologi
Maklumat dan Komunikasi (ICT) pada masa kini. Mata pelajaran ini digubal dengan
tujuan untuk menghasilkan murid yang berpengetahuan tentang kaedah dan proses
penghasilan produk multimedia serta kemahiran menggunakan peralatan dan perisian
berdasarkan standard industri.
Modul ini ditulis berdasarkan berdasarkan Kurikulum Standard Menengah (KSSM)
Sekolah yang digubal oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Kandungan modul ini
berdasarkan lapan modul yang disusun bagi kegunaan murid tingkatan 4 dan 5 aliran
vokasional. Menyedari bahawa kejayaan dan kesempurnaan projek multimedia banyak
bergantung pada pengetahuan dan aktiviti hands-on, maka modul ini ditulis khusus
dengan memuatkan pengetahuan teori, pendedahan asas kepada perisian dan latihan
dalam bentuk modul. Modul ini terdiri daripada 8 bidang pembelajaran iaitu Asas
Multimedia, Elemen Teks, Elemen Grafik, Elemen Audio, Elemen Video, Elemen
Animasi, Pembangunan Produk Multimedia dan Keusahawanan.
Dalam usaha menarik minat serta tumpuan murid, isi kandungan modul ini
dipersembahkan dalam bentuk rajah dan carta yang mudah difahami. Dengan
pendekatan ini diharapkan murid akan lebih memahami dan seterusnya menguasai
pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari. Di samping itu, modul ini digubal selari bagi
melengkapkan pengetahuan, kemahiran asas serta mengenal pasti aspek yang perlu
diajar kepada murid. Adalah diharap agar modul ini dapat memberikan pendedahan
yang jelas kepada murid aliran multimedia, seterusnya membantu mereka menguasai
pengetahuan dan kemahiran selaras dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang
berhasrat melahirkan tenaga kerja yang berketerampilan dan bermutu dan seterusnya
dapat menyumbangkan tenaga dan kepakaran mereka untuk mewujudkan sebuah
negara maju yang dinamik dan berdaya saing.
OBJEKTIF MODUL
Objektif modul pembelajaran Produksi Multimedia Tingkatan 4 ini ialah untuk
membolehkan murid:
Membina pengetahuan tentang konsep, proses, prinsip dan teknik penghasilan
produk multimedia.
Menggunakan teknologi perkakasan dan perisian multimedia yang bersesuaian
dengan keperluan industri dalam menghasilkan produk multimedia.
Mempersembahkan idea kreatif dan inovatif menerusi penyediaan bahan media
dan penghasian produk multimedia dengan yakin.
Mengaplikasikan pemikiran komputasional dalam proses penghasilan produk
multimedia.
Memperlihatkan perkembangan potensi diri dan ciri-ciri usahawan sebagai
persediaan membina kerjaya melalui portfolio.
Mempromosikan diri sebagai pereka bentuk multimedia dengan berkesan dalam
aktiviti keusahawanan.
Memupuk kesedaran terhadap kepentingan etika dan perundangan dalam
penghasilan bahan dan produk multimedia.
viii

