Page 10 - E-KOMPILASI RANCANGAN PELAJARAN TAHUNAN 2021 SEKOLAH RENDAH
P. 10
KURIKULUM KEBANGSAAN
Pendidikan merupakan suatu proses menuju kemajuan dan kehidupan yang lebih harmoni sama ada untuk individu, masyarakat mahupun
negara. Pada hakikatnya, manusia yang berpendidikan lebih menunjukkan sifat disiplin dan kematangan fikiran yang baik berbanding manusia
yang tidak mendapat pendidikan yang sepatutnya.
Sistem pendidikan yang sempuna dan berkesan berasal daripada sistem yang teratur melibatkan visi dan misi, matlamat, peraturan serta
undang-undang. Oleh itu, terhasilnya Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah menjadi satu garis panduan kepada negara dalam mengurus
pendidikan di Malaysia. Falsafah Pendidikan Kebangsaan merupakan teras kepada Sistem Pendidikan Malaysia yang banyak memberi tumpuan
kepada perkembangan emosi diri para pelajar secara menyeluruh untuk melahirkan individu yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani
dan intelek. Kenyataan tersebut boleh dirujuk dalam pernyataan berikut:
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara
menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, dan
jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia
yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai
kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara (1988 –
Falsafah Pendidikan Negara)
Salah satu panduan penting selain Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam pendidikan adalah Kurikulum Kebangsaan. Kurikulum Kebangsaan
yang tertera dalam Akta Pendidikan 1996 dinaytakan seperti berikut:
Kurikulum Kebangsaan merupakan suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua
pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan
sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk
menyampaikan pengetahuan.
[Akta Pendidikan 1996, Peraturan-peraturan (Kurikulum Kebangsaan) Pendidikan 1997]
Kesimpulannya, Kurikulum Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan sangat berkait rapat antara satu sama lain dalam usaha
melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi iaitu seimbang dari segala aspek.

