Page 218 - BUKU TEKS TAHUN 6
P. 218
Bacaan Luas
Pengguna Bijak Faedahnya Banyak
Terdapat dua pihak utama dalam dunia perniagaan, iaitu penjual dan pengguna.
Penjual ialah orang yang menjual barangan atau perkhidmatan manakala
pengguna ialah orang yang membeli barangan atau perkhidmatan tersebut.
Dalam konteks perniagaan, pengguna ialah “raja”. Walaupun begitu,
ada pengguna yang tidak mengetahui hak-hak mereka sebagai pengguna
ataupun “raja”. Sebagai pengguna, kita perlulah bijak membuat pertimbangan
semasa membeli barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh peniaga.
Beberapa aspek perlu dititikberatkan sebelum kita membuat keputusan untuk
membeli barangan atau perkhidmatan supaya kita tidak tertipu atau menyesal.
Pertama sekali, kita perlu merancang dan membuat belanjawan sebelum
membeli-belah. Hasilnya, kita akan dapat membuat perbandingan antara
keperluan dengan kehendak melalui belanjawan itu. Sebagai pengguna yang
bijak, keperluan mestilah diutamakan.
Seterusnya, kita perlulah peka akan harga semasa. Lihatlah katalog dan
harga promosi barangan sebelum kita membeli-belah. Membeli barangan
secara pukal lebih murah berbanding dengan membeli barangan dalam kuantiti
yang sedikit. Oleh itu, rancanglah waktu yang sesuai untuk membeli barangan
supaya kita menjadi pembeli yang berhemat.
Selain itu, kita janganlah mudah terpengaruh oleh iklan sesuatu barangan
tanpa mengkaji terlebih dahulu akan kebaikannya. Di samping itu, elakkan
diri daripada menggunakan kad kredit semasa membeli-belah. Penggunaan
kad ini boleh menyebabkan kita cenderung untuk boros berbelanja. Oleh itu,
bawalah wang tunai yang secukupnya ketika membeli barang. Akhir sekali,
semak resit pembelian dan jumlah barangan yang kita beli selepas membuat
bayaran.
Kesimpulannya, banyak perkara yang patut dititikberatkan sebelum
membuat keputusan untuk membeli barangan dan perkhidmatan. Pengguna
yang bijak akan sentiasa berjimat cermat, berfikir secara rasional dan memupuk
tabiat suka menabung demi masa depan.
Sumber: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
191

