Page 24 - BUKU TEKS TAHUN 6
P. 24
Bacaan Luas
Pelukan Keluarga
“Ayah!” jerit Syukri sambil tersenyum riang. Dia berdiri di muka pintu untuk
menyambut kepulangan ayahnya. Encik Murad yang baru sahaja tiba di rumah
segera memeluk anaknya itu dengan eratnya. Pada ketika itu, perasaannya
cukup bahagia. Pelukan anak bongsunya itu telah menghilangkan penat
lelahnya bekerja dengan serta-merta.
Sedutan kisah yang dipaparkan ini membuktikan betapa istimewanya
pelukan orang tercinta. Pelukan antara ayah dengan anak atau adik dengan
abang‚ misalnya dapat membangkitkan perasaan kasih sayang. Hakikatnya,
amalan ini dapat menyemarakkan rasa cinta, mengeratkan hubungan serta
mengukuhkan keharmonian institusi keluarga.
Tanpa kita sedari, pelukan keluarga mempunyai banyak kelebihannya.
Kajian mendapati bahawa pelukan akan mengurangkan tekanan emosi,
merendahkan tekanan darah serta mengurangkan risiko serangan penyakit
jantung. Secara saintifiknya, pelukan akan meningkatkan hormon kesihatan
jantung dan mengurangkan hormon kortisol, iaitu hormon yang menyebabkan
stres dan meningkatkan tekanan darah.
Kajian oleh seorang pakar psikologi mendapati bahawa pelukan keluarga
dapat meningkatkan jangka hayat seseorang. Pelukan sekurang-kurangnya 10
saat setiap hari dapat memanjangkan usia seseorang untuk tempoh lima tahun.
Selain itu, ada juga kajian yang membuktikan bahawa pelukan dapat
memberikan impak positif kepada manusia. Menurut pakar fisioterapi, setiap
individu memerlukan sekurang-kurangnya empat pelukan sehari. Lapan
pelukan sehari dapat meningkatkan kesihatan, manakala 12 pelukan sehari
dapat menjadikan seseorang itu awet muda.
Sehubungan dengan itu, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga
Negara (LPPKN) telah melancarkan Kempen Pelukan Keluarga 10 Saat pada
sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2014. Kempen itu bertujuan untuk
menyemarakkan perasaan kasih sayang dan kebahagiaan dalam kalangan
anggota keluarga. Selain itu, masyarakat
juga diberi kesedaran tentang manfaat
pelukan keluarga kerana amalan tersebut
dapat merapatkan hubungan kekeluargaan,
meningkatkan kesihatan sekali gus mewujudkan
keluarga bahagia.
Diubah suai daripada rencana “Pelukan 10 Saat” dalam Berita Harian, 24 Februari 2015
15

