Page 7 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 7
PRAKATA
PENGARAH
BAHAGIAN PEMBANGUNAN KURIKULUM
Sistem pendidikan sentiasa berkembang dan bersifat dinamik untuk memenuhi keperluan
negara dan global. Pendidikan 4.0 yang merupakan kata kunci dalam kalangan para pendidik,
sejajar dengan revolusi industri ke-4 (IR 4.0) bertujuan menyediakan graduan dengan
kemampuan dan kecekapan yang diperlukan oleh industri berasaskan teknologi dan digital.
Transformasi pendidikan ini yang mengutamakan kreativiti dan ciptaan memainkan peranan
penting dalam membentuk minda dan sahsiah anak-anak di negara ini. Memahami prestasi dan
cabaran semasa sistem pendidikan Malaysia, dengan fokus untuk meningkatkan akses kepada
pendidikan, meningkatkan standard (kualiti), menutup jurang pencapaian (ekuiti), memupuk
perpaduan antara pelajar, dan memaksimumkan kecekapan sistem adalah aspirasi kurikulum
pendidikan di Malaysia.
Jurnal Kurikulum terbitan Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) merupakan saluran bagi
para penyelidik untuk membincangkan perkembangan pendidikan dengan memberi tumpuan
terhadap perubahan kurikulum dan isu-isu yang mempengaruhi perubahan di samping
mengesyorkan pelbagai perspektif baru untuk masa depan dalam bidang pendidikan di
Malaysia. BPK menghargai usaha para penulis daripada universiti, kolej matrikulasi, institut
perguruan, pegawai KPM, JPN dan PPD serta guru yang menyumbang artikel berbentuk kertas
konsep dan kajian yang dipanjangkan melalui jabatan masing-masing. BPK berhasrat
menggalakkan warga pendidik terutama pembangun dasar, penggubal dan pelaksana
kurikulum mendapat manfaat daripada jurnal ini yang berfokuskan penyelidikan serta
merangsang penyelidikan dan perbincangan terhadap dapatan kajian pengajaran dan
pembelajaran serta mendorong penulisan ilmiah mengenai kurikulum pendidikan.
Jurnal Kurikulum Jilid 5 bagi tahun 2020 telah mengorak langkah ke arah kecemerlangan
dengan peningkatan dalam aspek cara penilaian manuskrip iaitu berdasarkan garis panduan
terkini yang disediakan untuk penilai dan penulis manuskrip yang dipilih.
Setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih diucapkan kepada para penulis dan
penyelidik yang telah menyumbang artikel serta tahniah kepada sidang editor, panel pewasit
dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penerbitan Jurnal Kurikulum Jilid 5 Tahun
2020 ini. Pendidikan memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi Malaysia
untuk menjadi negara maju. Dalam pada itu, sebagai peneraju pembangunan kurikulum
pendidikan di Malaysia, aspirasi saya adalah supaya ramai pegawai KPM menceburi bidang
penyelidikan dan menghasilkan artikel yang dapat menyumbang data dan informasi terkini
berkaitan pendidikan.
Datin Sri Hajah Nor Zamani binti Abdol Hamid
Pengarah
Bahagian Pembangunan Kurikulum
Kementerian Pendidikan Malaysia
vii

