Page 8 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 8
PRAKATA
KETUA EDITOR
Pada tahun ini, Jurnal Kurikulum Jilid 5 Tahun 2020 berjaya diterbitkan walaupun dengan
penuh cabaran disebabkan wabak pandemik Covid-19. Jurnal Kurikulum merupakan satu
wadah para pendidik berkongsi ilmu pengetahuan serta dapatan kajian supaya informasi yang
penting, tepat dan relevan dapat meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini.
Pada tahun ini, sebanyak 25 buah artikel diterima dari institusi pendidikan seperti universiti,
sekolah dan Bahagian Kementerian Pendidikan Malaysia. Sejumlah 13 buah artikel dipilih
untuk diterbitkan dalam Jurnal Kurikulum ini.
Beberapa artikel yang telah dipilih bagi tahun ini menggambarkan usaha penyelidikan yang
dilakukan terhadap pelaksanaan kurikulum sama ada KSPK (Semakan 2017), KSSR (Semakan
2017) atau KSSM secara umum dan juga bagi mata pelajaran tertentu. Di samping itu, terdapat
juga artikel yang memaparkan tentang keperluan kemahiran intervensi awal bagi Pendidikan
Khas serta kompetensi pengetahuan dan kemahiran guru dalam bidang Sains Sosial. Artikel-
artikel lain pula adalah berdasarkan kerangka konsep serta dapatan kajian yang membuktikan
kurikulum yang sedia ada berupaya melahirkan pembelajaran berkesan di dalam bilik darjah.
Terima kasih diucapkan kepada semua penulis yang telah menyumbang artikel mereka pada
tahun ini.
Sejuta penghargaan diucapkan kepada pihak pengurusan tertinggi Bahagian Pembangunan
Kurikulum kerana memberi dorongan dan sokongan moral dalam menjayakan penerbitan
jurnal ini. Ribuan terima kasih juga diucapkan kepada semua panel pewasit yang telah
meluangkan masa dan tenaga untuk memberi penilaian yang mantap terhadap artikel yang
dipilih.
Sama seperti tahun-tahun yang lalu, semoga usaha penulisan ilmiah dapat diteruskan dengan
penerbitan berkala Jurnal Kurikulum ini. Diharap juga warga pendidik sentiasa
mempertingkatkan profesionalisme dalam bidang pendidikan di pelbagai peringkat agar
sentiasa disuntik dengan idea yang baharu dan bernas untuk pembangunan pendidikan di
negara ini.
Sekian.
Dr. Ilhavenil Narinasamy
Ketua Editor
viii

