Page 122 - mewarna pelangi
P. 122
Zarah kini benar-benar berada antara dua persimpangan. Dia
terperangkap antara rindu dan harapan.
Zahirnya dia tidak sanggup melihat Asri hanyut di lautan kecewa.
Tapi .... Amat sukar untuk dia meneruskannya. Oh, Tuhan
sesungguhnya hidup ini penuh dengan pelbagai ujian!
“Zarah, tidakkah kau merasa simpati pada diriku??” rayu Asri
lagi. Zarah terus dicengkam kebisuan. Sebaliknya dia lalu mengalihkan
pandangan ke arah laut yang membiru. Laut ada kaitannya dengan
hidup manusia, pasang surut silih berganti. Cintanya hanya mekar
seketika. Kemudian lalu merunduk layu. Namun hatinya tetap redha
menerima suratan takdir ini. Manusia hanya mampu merancang tapi
Tuhan yang menentukan segala-galanya.
Fikiran Zarah semakin dilambung dengan persoalan itu.
Pemergian Asri dari sisi mengapungkan dirinya di lautan luka.
Kerinduan sentiasa bergelora di jiwa. Terumbang-ambing bak bahtera
yang karam dipukul gelombang. Hakikatnya dia amat menyintai Asri.
Pintu hatinya telah tertutup rapat untuk menyintai lelaki lain. Tapi, kini
... Rosnani. Dia tidak mahu dituduh sebagai perampas kebahagiaan
rumah tangga orang lain.
122

