Page 237 - JALAN PULANG
P. 237
mencari ilham untuk melukis. Setiap yang tergambar dalam
perasaannya dan dilaluinya dalam kehidupan ini dicurahkannya dalam
lukisan.
Bagi Wahid lukisan adalah segala-galanya dalam mewarnai
perjalanan hidupnya. Tanpa lukisan dia merasakan seolah-olah tidak
bermaya dan gelap dalam hidup ini. Kanvas dan berus adalah teman
sejatinya. Minat Wahid melukis sejak dari kecil lagi. Bermula dengan
menconteng di atas butiran pasir dengan menggunakan ranting kayu
atau lidi penyapu. Kemudian apabila bersekolah rendah dia menconteng
di atas kertas.
Dia masih ingat lagi. Sewaktu di sekolah rendah dia sering
dimarahi oleh guru. Asyik melukis sahaja. Tidak pandai dalam mata
pelajaran lain. Apabila di sekolah menengah dia sering mendapat
kepujian dalam mata pelajaran lukisan. Lamunannya yang jauh benar
melayang sehingga ke awangan itu lantas terhenti. Kedengaran suara
wanita memberi salam. Dia lantas menoleh ke arah suara yang lembut
itu dan menjawab salam.
“Jauh mengelamun nampak. Maafkan saya. Mengganggu awak
ke?” tanya Rosnani dengan lembut dan penuh sopan.
237

