Page 239 - JALAN PULANG
P. 239
“Memang bagus sekali. Dah banyak tempat peranginan saya pergi.
Termasuk luar negara. Inilah kali pertama saya berjumpa dengan
tempat yang paling bagus sekali.” Rosnani menghamburkan kata-kata
pujian. Wahid sebaliknya tersenyum kecil apabila mendengar kata-kata
gadis manis dari kota besar itu.
“Kenapa awak ketawa? Ada yang tak kena ke dengan apa yang
saya cakapkan tadi?” Dia lalu berasa hairan apabila melihat senyuman
terukir jelas di wajah Wahid.
“Tak ada apa-apa?” dia menggeleng-gelengkan kepala apabila
menjawab pertanyaan yang diajukan oleh Rosnani itu.
“Habis tu? Tentu ada sesuatu yang lucu awak rasakan. Masa kan
tidak dengan tiba-tiba saja awak tertawa kecil,” Rosnani pantas
memotong.
“Kan saya dah kata tadi. Tak ada apa-apa yang melucukan. Cuma
timbul di hati saya sama ada awak ikhlas memuji tempat ini atau
terpaksa. Kerana awak berhadapan dengan saya. Itu saja. Saya minta
maaf kalau penjelasan saya ini benar-benar keterlaluan bagi awak,”
pinta Wahid dalam nada suara sayup-sayup tenggelam bersama desiran
ombak yang gagah perkasa menghempas pantai.
239

