Page 3 - Sejarah Tahun 6 SR Kegunaan 2022
P. 3
PENDAHULUAN
Buku Teks Sejarah Tahun 6 Sekolah Kebangsaan (SK) ditulis berdasarkan
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Semakan 2017 yang digubal oleh
Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memenuhi matlamat Falsafah
Pendidikan Kebangsaan. Penulisan buku teks ini memberikan penekanan
terhadap penerapan nilai murni, semangat patriotik, elemen
kewarganegaraan dan nilai-nilai sivik. Penekanan ini perlu bagi melahirkan
murid yang berdaya saing dan berwawasan serta mempunyai semangat jati
diri sebagai warganegara Malaysia yang sayang dan cinta akan negaranya.
Kandungan dalam buku teks ini disusun dengan menekankan
kepelbagaian kaedah pembelajaran seperti pembelajaran berasaskan inkuiri,
kontekstual, kajian kes, kajian masa depan, pembelajaran di luar bilik darjah,
kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi serta mengaplikasikan
kemahiran abad ke-21.
Pembelajaran sejarah akan lebih menyeronokkan dengan penerapan
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan didik hibur yang membolehkan murid
melahirkan pemikiran sejarah yang lebih kritis, kreatif dan inovatif. Selain itu,
terdapat juga aktiviti yang memerlukan murid membuat kajian bagi
mendapatkan maklumat. Aktiviti kajian ini bertujuan memberikan
pengalaman dan kemahiran kepada murid dengan lebih berkesan. Murid
diharap akan dapat menghayati sejarah secara empati untuk membentuk jati
diri yang mantap dan memiliki pemikiran yang terbuka bagi menghayati ilmu
sejarah.
Buku Teks Sejarah Tahun 6 SK ini merupakan kesinambungan daripada
buku Teks Sejarah Tahun 4 dan 5. Tema sejarah tahun 6 ialah Kemakmuran
Negara Kita dan dibahagikan kepada tiga tajuk utama iaitu:
Tajuk 1 : Negara Malaysia
Tajuk ini berkaitan tentang pembentukan Malaysia, sebab pembentukan
Malaysia, proses pembentukan Malaysia, tokoh yang terlibat dan cabaran
pembentukan Malaysia. Tajuk ini juga menyentuh negeri-negeri yang
membentuk Malaysia, asal usul nama negeri dan identiti negeri-negeri
tersebut. Maklumat yang dipaparkan melalui tajuk ini bertujuan melahirkan
perasaan bangga dan cinta akan negara dalam kalangan murid. Selain itu
murid juga diharapkan dapat menghayati Rukun Negara yang menjadi teras
pembinaan jati diri untuk melahirkan warganegara yang bertanggungjawab.
i

