Page 130 - KOLEKSI INOVASI JILID 8 EDISI MInD IPG 2020
P. 130
ISSN 0128-1410 KOLEKSI INOVASI JILID 8/2021
Sumber/Model
Inovasi Nyah Aedes yang dibangunkan merupakan ubah suai daripada
penyelidikan lepas berkaitan kelebihan dan kebaikan serai wangi dalam
kehidupan. Kajian dijalankan adalah di dalam makmal dengan menggunakan
ekstrak minyak serai wangi. Penggunaan serai wangi sebagai pencegah
kehadiran nyamuk masih belum lagi dilaksanakan di IPGK PM. Oleh sebab
kawasan IPGK PM adalah luas maka inovasi ini adalah dengan menggunakan
pokok serai wangi yang ditanam dalam polibeg dan diletakkan di kawasan
yang dikenal pasti mempunyai populasi Aedes sp. yang tinggi. Penggunaan
serai wangi yang ditanam dalam polibeg dan boleh dialihkan dari satu tempat
ke tempat lain juga belum pernah dijalankan.
PENGGUNAAN
Penggunaan inovasi Nyah Aedes merupakan satu alternatif yang murah,
mudah dan selamat dalam usaha untuk mencegah kehadiran nyamuk dan
mengawal risiko penularan demam denggi dalam kalangan warga IPGK PM,
disamping mengekalkan kelestaraian alam. Penanaman serai wangi
diteruskan di dalam pasu dan dijadikan sebagai tanaman hiasan di samping
mencegah kehadiran nyamuk secara berterusan di sekitar kawasan IPGK PM.
Pokok serai wangi diletakkan di tempat-tempat yang dianggap berisiko untuk
pembiakan Aedes sp. Selain itu kebersihan kawasan persekitaran perlu
sentiasa dipantau untuk memastikan tiada tempat untuk pembiakan nyamuk
Aedes dan seterusnya dapat menghalang penambahan populasi Aedes.
Bukti
Persampelan melibatkan tiga fasa biologi iaitu peringkat telur, larva dan pupa
menggunakan ovitrap (Rajah 1). Ovitrap digunakan untuk mengesan
kehadiran Aedes aegypti atau Aedes albopictus di lapangan (Sallehudin,
1990). Bagi kajian ini, persampelan melibatkan persampelan Aedes sp. secara
umum dan mengikut kaedah seperti yang disarankan oleh Sallehudin dan
Jeffery (1986). Persampelan telah dijalankan sebanyak empat replikasi
selama empat minggu di mana pada setiap kali persampelan sebanyak tiga
unit ovitrap diletakkan di lokasi yang telah ditetapkan iaitu di Unit Praktikum
(UP), di Jabatan Prasekolah (JPs) dan di Jabatan Pendidikan Khas (JPK).
Pemilihan tempat ini adalah berdasarkan maklumat awal kehadiran nyamuk
yang diperoleh daripada pemerhatian warga IPGK PM. Persampelan pusingan
pertama tanpa pokok serai wangi telah dilakukan pada bulan April hingga Mei
2019. Persampelan dengan menggunakan serai wangi sebagai agen biologi
penghalau nyamuk Aedes telah dilakukan antara bulan Jun hingga Julai 2019.
Sejumlah 3 batang pokok serai wangi yang telah disemai dan ditanam dalam
polibeg diletakkan berhampiran setiap ovitrap (Rajah 2).
121

