Page 5 - INOVASI - LATIHAN INTENSIF MACHs
P. 5
Intensif MACHs/2020
LATIHAN 1
Soalan 1 : Rumusan
[30 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha memartabatkan
sukan dan manfaat sukan kepada masyarakat. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah
perkataan.
Apabila kita menganjurkan sukan berprestij di dunia termasuklah Formula One, Le Tour De Langkawi,
dan Sukan Komanwel, pencapaian Malaysia sebagai penganjur tidak dapat dinafikan kehebatannya. Namun
begitu, pencapaian Malaysia sendiri sebagai peserta dalam sukan amatlah mengecewakan. Oleh hal yang
demikian, pelbagai usaha harus dilakukan untuk meningkatkan mutu sukan negara, agar kita dapat duduk sama
rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain dalam bidang sukan. Justeru, organisasi khas harus
ditubuhkan untuk menjaga kebajikan atlet negara bagi memastikan atlet memiliki semangat juang yang tinggi
agar mutu sukan negara dapat ditingkatkan.
Dalam usaha membentuk atlet, pendedahan haruslah dimulakan dari peringkat kanak-kanak. Sekolah
sukan harus dibina di setiap daerah atau di setiap negeri pada peringkat sekolah rendah lagi. Subjek sukan
juga dimasukkan sebagai subjek penting dan diuji, sama seperti ujian bagi mata pelajaran lain. Pada peringkat
sekolah pula, pelbagai aktiviti kesukanan haruslah diadakan dan hadiah yang menarik pula perlulah ditawarkan
sebagai ganjaran. Selain itu, perlawanan persahabatan dalam sukan serta perlawanan peringkat sekolah
haruslah ditingkatkan untuk mencungkil bakat terpendam para pelajar yang seharusnya menjadi pelapis atlet
sedia ada. Pada masa yang sama, kemudahan sukan dan peruntukan untuk membeli peralatan sukan haruslah
disediakan agar atlet mendapat latihan yang secukupnya.
Namun begitu, senario atlet sukan negara yang mekar hanya seketika dalam bidang sukan amat
membimbangkan pelbagai pihak. Punca utama atlet negara kita tidak bergiat lama dalam bidang ini kerana
tiada jaminan masa depan untuk mereka. Mereka juga bimbang tiada peluang pekerjaan khususnya selepas
mereka bersara daripada bidang sukan. Tambahan pula, jika berlaku kecederaan kepada diri atlet negara
dikhuatiri nasib mereka tidak terbela. Justeru, pihak kerajaan haruslah giat menjalankan kajian tentang
jaminan masa depan atlet untuk jangka masa panjang mereka agar semangat kesukanan menebal dalam diri
atlet negara. Dalam hal ini, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah dengan merombak jawatankuasa
induk yang menaungi sesebuah persatuan sukan. Sewajarnya barisan kepimpinan sukan ini dirombak dan
seterusnya memberikan laluan kepada muka-muka baru yang mempunyai latar belakang bidang sukan serta
beriltizam tinggi untuk memajukan mutu sukan negara.
Tuntasnya, semua pihak harus bekerjasama untuk memajukan lagi sukan di negera kita.Ibu bapa pula
seharusnya memberikan bimbingan dan galakan kepada anak yang berkecenderungan terhadap bidang sukan.
Kemorosotan mutu sukan negara tidak seharusnya dibiarkan berlanjutan kerana hal ini sedikit sebanyak
berkaitan dengan maruah negara kita pada peringkat antarabangsa.Semoga slogan Majulah Sukan Untuk
Negara dapat diimplementasikan dengan jayanya.
Suntingan: HAR/SISC+BAHASA PPDM

