Page 3 - flip pibg_Neat
P. 3
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan limpah kurnia rahmat-
Nya maka kita dapat dipertemukan lagi dalam Mesyuarat Agung PIBG kali ke-47 sesi
2021/2022. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa
PIBG kerana telah banyak memberikan sumbangan dalam membantu pihak sekolah
sama ada dalam bentuk material mahupun idea-idea yang bernas di samping sokongan
moral sebagai penggerak dalam semua aktiviti pendidikan dan pembangunan prasarana
sekolah
Kejayaan demi kejayaan bakal diterokai oleh warga sekolah baik dalam bidang
akademik mahupun kokurikulum. Walau bagaimanapun, perkara asas yang perlu kita
titik beratkan adalah kejayaan untuk mendidik dan membentuk anak-anak puteri Asma
menjadi individu yang berketerampilan, bijak, mempunyai sahsiah terpuji, sentiasa
patuh kepada Tuhan, ibu bapa, guru-guru dan peraturan sekolah. SMK Sultanah Asma
akan sentiasa berusaha memikul tanggungjawab untuk memelihara budaya
kecemerlangan sekolah dari segi prestasi akademik, etos sekolah, keterampilan pelajar,
budaya kerja guru, budaya belajar pelajar khususnya dari segi adab dan sahsiah demi
mengekalkan rentak kecemerlangan sekolah
Pada masa yang sama, pihak sekolah amat mementingkan peranan guru yang menjadi
tonggak kepada falsafah dan gerak kerja profesional KPM dalam mengaplikasikan
Naratif Baharu Amalan Pendidikan. Bagi mencapai sub-naratif pertama (murid), maka
para guru perlu mengubah sistem pedagogi sedia ada yang berpusatkan guru kepada
sistem pengajaran yang berpusatkan murid yang berorientasikan perkembangan untuk
meningkatkan prestasi penguasaan mereka dalam KBAT. Begitu juga bagi mencapai
sub- naratif kedua yang memerlukan para guru berubah untuk sentiasa berkolaboratif
dalam pengajaran dan pembelajaran demi mencerminkan imej guru SMK Sultanah
Asma yang dinamik dan efisien. Seiring dengan cabaran-cabaran yang termaktub dalam
dunia pendidikan hari ini, maka semua pihak perlu berganding bahu merencanakan
perancangan yang rapi untuk mengekalkan momentum kejayaan SMK Sultanah Asma
dari semasa ke semasa.
Akhir sekali, pada kesempatan yang ada, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih
kepada Jawatankuasa PIBG 2020/2021 dan tidak ketinggalan kepada Jawatankuasa
Pelaksana Mesyuarat Agung PIBG kali ke-47 kerana telah member sumbangan bakti
yang amat bermakna kepada sekolah.
Sekian, terima kasih.
Pn. Hajah Farihah binti Hussein
Pengetua
SMK Sultanah Asma
Alor Setar, Kedah
MESYUARAT AGUNG PIBG
SMKSA 47/2021

