Page 75 - BUKU PANDUAN PENGURUSAN SEKOLAH 2022/2023
P. 75
1. Apakah PBD?
Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) merupakan pentaksiran yang berterusan dalam sesi
pengajaran dan pembelajaran bagi mendapatkan maklumat tentang perkembangan,
kemajuan, kebolehan dan pencapaian murid. PBD berlaku secara formatif dan sumatif;
sebagai pembelajaran, untuk pembelajaran dan tentang pembelajaran.
2. Bila PBD bermula?
PBD dahulunya dikenali sebagai Pentaksiran Sekolah (PS) bermula pada tahun 2011.
Pada tahun 2016, PS mula dikenali sebagai PBD.
3. Apakah perbezaan PBD dan PBS?
PBS ialah Pentaksiran Berasaskan Sekolah, suatu pentaksiran yang bersifat holistik iaitu
menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani). Ini
selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Oleh itu terdapat empat komponen
dalam PBS iaitu Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan &
Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Bilik Darjah
(PBD).
PBD pula ialah pentaksiran yang berlaku secara berterusan sepanjang PdP, bagi semua
mata pelajaran. PBD bukanlah untuk membandingkan tahap penguasaan antara seorang
murid dengan murid yang lain, tetapi ia bertujuan untuk melihat perkembangan kemajuan
murid dalam pembelajaran di samping membantu guru menambah baik pengajaran
mereka.
4. Apakah mata pelajaran yang terlibat dengan PBD?
Semua mata pelajaran KSSR dan KSSM.
Pelaksanaan konsep PBD berlaku secara berterusan dari Tahun 1 hingga Tahun 6 di
sekolah rendah dan dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di sekolah menengah.
5. Mengapakah PBD penting?
PBD dapat membantu guru dalam:
i. Mengesan perkembangan murid secara menyeluruh
ii. Mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dalam pembelajaran
iii. Mengetahui keberkesanan pengajaran
iv. Merancang dan mengubah suai kaedah pengajaran

