Page 6 - SK Tahun 1 Bahasa Melayu
P. 6

PENDAHULUAN




                  Pakej Buku Teks Bahasa Melayu Tahun 1 Sekolah Kebangsaan (SK) kegunaan mulai tahun 2017
                  bersandarkan transformasi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula.
                  Kurikulum ini diistilahkan sebagai KSSR (Semakan). KSSR (Semakan) Bahasa Melayu Tahun 1 ini
                  lebih menekankan penyataan Standard Kandungan (SK) dan Standard Pembelajaran (SP) yang
                  perlu diketahui dan mampu dilaksanakan oleh murid.

                     Bahan dalam pakej buku teks ini dipersembahkan dalam bentuk modular yang mengandungi
                  elemen pengetahuan, kemahiran bahasa, tatabahasa, nilai murni, kemahiran berfikir aras tinggi
                  (KBAT) dan strategi pengajaran dan pembelajaran. Elemen tersebut mesti dikuasai oleh murid
                  Tahun  1 sekolah kebangsaan bagi meningkatkan dan memantapkan penguasaan kemahiran
                  bahasa mereka. Selain itu, mereka juga diharapkan mampu untuk menggunakan bahasa Melayu
                  yang betul dan berkesan dalam urusan harian.

                     Pakej Buku Teks Bahasa Melayu Tahun 1 SK mengandungi dua komponen, iaitu Buku Teks
                  (BT) dan Buku Aktiviti (BA). Buku Aktiviti pula terdapat dalam dua jilid, iaitu BA Jilid 1 dan BA Jilid
                  2. Kandungan bahan dalam kedua-dua komponen ini dibina berdasarkan lapan tema. Setiap
                  tema mengandungi tiga unit yang menjadikan jumlahnya sebanyak 24 unit. Tema dan unit yang
                  dinyatakan dapat dilihat pada halaman kandungan. Tema tersebut diambil dan diubah suai
                  daripada Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) KSSR (Semakan) Bahasa Melayu
                  Tahun 1 Sekolah Kebangsaan.

                     DSKP yang diguna pakai dalam KSSR (Semakan) ini amat menekankan penggabungjalinan
                  kemahiran bahasa, penyerapan ilmu dan penerapan nilai murni. Kemahiran bahasa seperti
                  Kemahiran Mendengar dan Bertutur, Kemahiran Membaca, Kemahiran Menulis, Aspek Tatabahasa
                  dan Aspek Seni Bahasa digabungjalinkan bagi memantapkan penguasaan bahasa murid.

                     Ikon-ikon yang mewakili kemahiran dan aspek tersebut adalah seperti yang berikut:


                  Penggunaan Ikon

                  Buku ini menggunakan ikon seperti yang berikut:

                                                Penerangan Ikon Buku Teks

                             Kemahiran Mendengar dan Bertutur menjadi fokus utama untuk menguji kemampuan
                             murid mendengar, memahami dan menghayati secara lisan perkara yang didengar.
                             Selain itu, kemahiran ini juga menguji keupayaan murid untuk berkomunikasi.


                             Kemahiran  Membaca  menjadi  fokus  utama  untuk  menguji  kemampuan  murid
                             membaca dengan sebutan, intonasi, jeda dan kelancaran yang betul.


                             Kemahiran Menulis menjadi fokus utama untuk menguji kemampuan murid menulis
                             perkara yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi murid.


                             Aspek  Seni Bahasa  menjadi  fokus  utama  untuk  menguji  kemampuan  murid
                             memahami, mengungkap dan menghargai bahasa yang indah melalui pembelajaran
                             yang menyeronokkan secara didik hibur.



                                                             iv
   1   2   3   4   5   6   7   8   9   10   11