Page 6 - Pengurusan 2020 Induk 26.12.19
P. 6
SEKOLAH SUKAN BUKIT JALIL 2020
PRAKATA PENGETUA
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera
Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, Buku Panduan Pengurusan dan Takwim SSBJ bagi
tahun 2020 dapat disediakan dengan sempurna. Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada seluruh warga kerja
SSBJ kerana komitmen yang telah diberikan dalam usaha kita meneruskan lagi tugas dan amanah yang menjadi asas kepada
kelestarian SSBJ sebagai sebuah sekolah sukan premier bagi tahun 2020 ini. Kekuatan tenaga kerja dan sokongan padu
oleh barisan pengurusan sekolah telah dibuktikan dengan kerjasama penyediaan dokumen-dokumen disamping menyusun
atur dokumen yang amat diperlukan dalam penghasilan buku panduan pengurusan dan takwim pada kali ini.
Merentas arus dunia pendidikan kini, kita memerlukan perancangan dan persediaan yang amat teliti sebelum
melangkah lebih jauh ke hadapan. Buku Panduan dan Takwim SSBJ ini merupakan satu panduan yang menjadi teras bagi
seluruh warga SSBJ dalam melunaskan segala amanah yang telah diberikan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.
Segala maklumat perancangan sekolah untuk tahun 2020 dicatatkan secara terperinci. Perkara ini merangkumi senarai ahli
jawatankuasa bagi bidang Pengurusan, Akademik, Sukan, Hal Ehwal Murid, Kokurikulum serta Prauniversiti. Tidak lupa juga
segala informasi berkaitan profil sekolah dan panduan am pengurusan turut diselitkan sebagai rujukan seluruh warga sekolah
dalam melaksanakan setiap tugasan di sekolah ini.
Sepanjang tahun 2019, kita telah disajikan dengan begitu banyak kenangan manis dan kejayaan yang tiada tolok
bandingnya. Penyertaan atlet murid dalam pertandingan sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa telah
menyemarakkan lagi semangat Kita Juara. Saya begitu terharu dan berbangga dengan komitmen dan kerja keras yang telah
ditunjukkan oleh seluruh warga SSBJ. Sehubungan itu, bagi meneruskan tradisi kecemerlangan dalam bidang sukan,
akademik dan sahsiah serta rohani, diharapkan dokumen-dokumen yang telah dimuatkan dalam buku panduan pengurusan
dan takwin SSBJ ini dapat dijadikan panduan dan pegangan oleh seluruh guru dan jurulatih dalam melaksanakan setiap
aktiviti dan program yang telah dirancang bagi tahun 2020.
Bersatu teguh, bercerai roboh. Muafakat membawa berkat. Petikan kata mutiara ini amat jelas menunjukkan peri
pentingnya sikap bekerjasama dalam pasukan. Saya amat berharap kita dapat bergerak seiring untuk memacu kejayaan
yang diimpikan. Oleh itu itu, marilah bersama-sama kita bersatu hati memperkasakan pengurusan sekolah yang bertaraf
dunia demi mencapai aspirasi negara yang telah termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Justeru,
sesebuah organisasi mana mampu bergerak sendiri tanpa komitmen dan sokongan daripada seluruh warganya. Semoga
SSBJ terus mencapai kejayaan dan kegemilangan selaku sekolah sukan premier pertama negara ini.
Sekian, terima kasih.
ITHNIN BIN MAHADI,
Pengetua,
Sekolah Sukan Bukit Jalil (Sekolah Sukan Premier)
Kuala Lumpur
5

