Page 103 - BUKU UNSUR TAUTAN CHANGED
P. 103
Semangat patriotik dalam kalangan pelbagai etnik di
sesebuah negara amat penting untuk menjamin kestabilan politik,
ekonomi dan sosial negara berkenaan. Secara khususnya,
semangat patriotik menjadi tulang belakang jatuh bangunnya
sesebuah kerajaan. Semangat patriotik generasi pascamerdeka di
negara ini perlu dibangkitkan dari semasa ke semasa. Semangat
patriotik boleh ditakrifkan sebagai perasaan cinta yang kuat
terhadap tanah air. Memetik kata-kata sasterawan negara Usman
Awang bahawa kemerdekaan selalu dihubungkan dengan cinta
kepada tanah air justeru setiap bangsa perlu mendidik anak-
anaknya mengenal dan mencintai tanah air dan pahlawan-
pahlawannya. Terdapat langkah-langkah untuk memupuk
semangat patriotik dalam kalangan masyarakat majmuk di negara
ini.
Langkah utama untuk memupuk semangat patriotik dalam
kalangan masyarakat majmuk di negara ini adalah melalui
peranan yang dimainkan oleh para ibu bapa. Para ibu bapa boleh
mengambil pendekatan mudah dengan menggunakan teknik
penceritaan berkaitan tokoh-tokoh pahlawan tanah air. Impak
daripada ibu bapa yang sering mendendangkan kisah wira
negara akan memberikan gambaran yang jelas kepada anak-
anak bahawa keamanan dan kesejahteraan negara yang mereka
kecapi hari ini bukan datang secara percuma, malah perlu
dibayar dengan harga yang mahal melalui peluh keringat, titisan
darah serta nyawa pejuang negara. Sebagai contohnya, ibu bapa
boleh menceritakan kisah Penghulu Dol Said menentang
kemaraan British di Naning mahupun perjuangan mengembalikan
hak dan kedaulatan tanah air oleh Dato Bahaman, Tok Gajah dan
Mat Kilau di Pahang. Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah
menegaskan bahawa sesungguhnya segala kejayaan yang kita
kecapi pada hari ini, ditunjangi usaha dan perjuangan pahlawan
yang terdahulu. Tegasnya pendidikan awal di rumah yang
dimainkan oleh ibu bapa menjadi teras utama memupuk
semangat patriotik dalam jiwa masyarakat majmuk di negara ini.
103

