Page 6 - SK tingkatan 5
P. 6

Pendahuluan










                 Buku Teks Sains Komputer Tingkatan 5 ditulis berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan
                 Pentaksiran (DSKP) Sains Komputer Tingkatan 5 terbitan Kementerian Pendidikan Malaysia. Kurikulum
                 Standard Sekolah Menengah (KSSM) menyediakan dan memperkukuh murid dengan pengetahuan,
                 kemahiran dan nilai Sains Komputer serta pemikiran komputasional yang bersesuaian dengan
                 tahap kebolehan murid berdasarkan Standard Pembelajaran dan Standard Prestasi yang terdapat
                 dalam DSKP. KSSM Sains Komputer memberikan fokus dalam pengukuhan pengetahuan, kemahiran
                 dan nilai dalam empat bidang yang utama, iaitu Pengkomputeran, Pangkalan Data, Pengaturcaraan
                 dan Interaksi antara Manusia dengan Komputer. Fokus ini bertujuan untuk melahirkan murid yang
                 mempunyai kemahiran komputasional dan kritikal melalui aspek mereka bentuk, membangunkan
                 dan mencipta aplikasi baharu.
                   Buku ini menekankan strategi pengajaran dan pembelajaran yang bertujuan untuk menghasilkan
                 pembelajaran yang berkesan. Aktiviti pembelajaran yang pelbagai telah dicadangkan dalam buku ini.
                 Aktiviti ini merupakan asas untuk melahirkan murid yang bertanggungjawab tentang pembelajaran
                 kendiri,  memiliki sifat bekerjasama ketika menjalankan  aktiviti berkumpulan, mengaplikasikan
                 pembelajaran dalam kehidupan harian, bersifat ingin tahu, mampu menyelesaikan masalah dalam
                 pembelajaran dan menguasai pelajaran yang dipelajari.

                   Kemahiran Abad ke-21 telah diterapkan dalam Buku Teks Sains Komputer Tingkatan 5 bagi
                 membentuk murid yang berdaya tahan, mahir berkomunikasi, berfikir secara kritikal, kreatif dan
                 inovatif, mempunyai semangat kerja berpasukan, bersifat ingin tahu, berprinsip, bermaklumat,
                 penyayang dan mempunyai semangat patriotik. Profil ini sangat penting untuk melahirkan murid yang
                 mampu bersaing pada peringkat antarabangsa dan mampu menyumbang kepada manusia sejagat.

                   Elemen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) merupakan satu elemen yang diberikan penekanan
                 dalam buku ini. Hal ini bertujuan untuk menjadikan murid mampu menyelesaikan masalah dan
                 mengaplikasikan ilmu yang dipelajari oleh mereka. Melalui ciri-ciri seperti kemahiran berfikir secara
                 kritis dan kreatif, menaakul, dan strategi berfikir, murid berkeupayaan untuk membuat keputusan,
                 berinovasi dan mereka cipta sesuatu.
                   Elemen Merentas Kurikulum (EMK) juga ditekankan bagi memperkukuh kemahiran dan
                 keterampilan murid untuk menghadapi cabaran masa hadapan. Elemen yang dipupuk merangkumi
                 penggunaan bahasa pengantar yang betul dan tepat, kesedaran untuk mencintai dan menyayangi
                 alam sekitar, mempunyai nilai-nilai murni, semangat patriotik yang tinggi dan elemen Teknologi
                 Maklumat dan Komunikasi.



                  iv
   1   2   3   4   5   6   7   8   9   10   11