Page 13 - EXEMPLAR BM TAHAP 1
P. 13

UNIT 1     PENGENALAN


                                   Pendidikan sivik didedahkan kepada murid seawal dari peringkat prasekolah untuk menyemai kesedaran sivik dalam kalangan kanak-kanak.
                                   Pada peringkat sekolah rendah, pendidikan sivik dipelajari oleh murid untuk memperoleh pengetahuan dan pengalaman sivik, manakala di
                                   sekolah menengah, pembelajaran pendidikan sivik membolehkan murid mengaplikasikan pemikiran sivik dan mengamalkannya dalam kehidupan
                                   harian. Pendidikan sivik memberi pemahaman dan kesedaran kepada murid tentang hak serta tanggungjawab mereka terhadap masyarakat dan
                                   negara. Pelaksanaan pendidikan sivik di sekolah memberi penekanan kepada aspek literasi sivik dan amali sivik yang diintegrasikan melalui
                                   empat nilai teras, iaitu kasih sayang, hormat-menghormati, bertanggungjawab dan kegembiraan. Hasrat ini boleh dicapai melalui pendekatan
                                   bersepadu menerusi perhimpunan sekolah, kurikulum, kokurikulum dan program sekolah. Melalui kurikulum, kandungan  pendidikan sivik
                                   disampaikan secara pembelajaran bersepadu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.


                                   Penyepaduan dalam mata pelajaran ini disediakan dalam Perincian Pemetaan Pendidikan Sivik. Kandungan ini membolehkan murid memahami
                                   dan menghayati pelbagai ilmu serta maklumat seperti hak asasi, hubungan dengan orang lain, warisan budaya masyarakat Malaysia, kedaulatan
                                   negara dan kelestarian alam sekitar. Pemahaman tentang pendidikan sivik membolehkan murid mengukuh kemahiran berkomunikasi dengan
                                   berkesan, berunding dan menyelesaikan konflik serta membuat keputusan, hidup bersama-sama dalam masyarakat berbilang kaum dan etnik
                                   serta menyumbang kepada masyarakat. Pemahaman dan kesedaran sivik juga dapat membentuk perwatakan murid          supaya menjadi
                                   warganegara yang bersatu padu, bersemangat patriotik, berintegriti dan memberi sumbangan bermakna ke arah kesejahteraan masyarakat,
                                   negara serta global.



                                   Perincian pemetaan ini disokong dengan penyediaan modul sebagai panduan kepada guru untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran
                                   (PdP) pendidikan sivik dalam mata pelajaran tersebut. Modul yang disediakan untuk semua peringkat persekolahan menekankan aspek
                                   pengetahuan, sosioemosi dan tindakan sivik serta menyarankan pelbagai kaedah PdP bagi memastikan pendidikan sivik dilaksanakan berkesan.


                                   Pendidikan sivik hendaklah dilaksanakan secara bersepadu dan menyeluruh melalui pelbagai cara. Pelibatan semua pihak dapat mendorong ke
                                   arah pembentukan perwatakan murid yang memiliki pemikiran sivik dan mengetahui hak serta tanggungjawab sebagai warganegara dalam
                                   memberi sumbangan kepada masyarakat, negara dan global.






                                                                                                   1
   8   9   10   11   12   13   14   15   16   17   18