Page 16 - EXEMPLAR BM TAHAP 1
P. 16
Literasi sivik dan amali sivik dijadikan asas dalam pendidikan sivik. Literasi Sivik merangkumi tiga elemen, iaitu pengetahuan kewarganegaraan
(pengetahuan), karakter atau sikap kewarganegaraan (sosioemosi) dan keterampilan kewarganegaraan (tindakan) yang diterjemahkan dalam
kurikulum seperti berikut:
1. Pengetahuan Kewarganegaraan
Merupakan perkara asas yang perlu diketahui dan difahami oleh seseorang warganegara khususnya pengetahuan tentang hal ehwal raja
berperlembagaan dan demokrasi berparlimen, pentadbiran dan kerajaan, masyarakat sivil, hak asasi manusia, perlembagaan dan undang-
undang negara. Melalui pengetahuan sivik, setiap warganegara dapat memahami hak dan tanggungjawab bagi menjadikan mereka
berfikiran lebih terbuka, dapat menyesuaikan diri dengan pelbagai isu, masalah dan cabaran serta boleh berfungsi dalam sistem
sosiopolitik.
2. Karakter atau Sikap Kewarganegaraan
Karakter atau sikap kewarganegaraan adalah kemahiran yang diperlukan untuk mengenali dan menguruskan emosi, membuat keputusan
secara bertanggungjawab berdasarkan pertimbangan sivik, prihatin serta membina hubungan kasih sayang secara positif. Melalui
sosioemosi sivik, setiap warganegara mampu menangani situasi yang mencabar secara rasional serta boleh menyesuaikan diri dalam
kepelbagaian masyarakat.
3. Keterampilan Kewarganegaraan
Keterampilan kewarganegaraan adalah individu yang mampu melaksanakan hak-hak kewajipannya sebagai warganegara,
bertanggungjawab terhadap diri, keluarga, sekolah, masyarakat, negara dan global. Melalui tindakan sivik, setiap warganegara berupaya
untuk menyokong dan menyumbang melalui aktiviti kemasyarakatan, pembangunan negara
serta mampu memberi respons perkara-perkara berkaitan dengan masyarakat, negara dan
global.
4

