Page 11 - PANDUAN PELAKSANAAN PENTAKSIRAN BILIK DARJAH Edisi ke-2
P. 11

KATA PENGANTAR


                                        Assalamualaikum  warahmatullahi  wabarakatuh,  dan  Salam
                                        Sejahtera.

                                        Terlebih dahulu saya memanjat setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat
                                        Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, Panduan Pelaksanaan
                                        PBD Edisi Ke-2 telah diterbitkan untuk memenuhi keperluan semasa.

                                        Pentaksiran  Bilik  Darjah  (PBD)  yang  berkualiti  dapat  menentukan
                                        kemenjadian murid seperti yang dihasratkan. Dengan pelaksanaan
                                        PBD  yang  berkesan,  guru  dapat  mengumpul  maklumat  tentang
                                        perkembangan,  kemajuan  dan  penguasaan  murid  dalam  proses
               pembelajaran  mereka  dan  seterusnya  meningkat  pencapaian  murid  secara  keseluruhan.
               Terbitan  yang  terdahulu  berhasrat  untuk  membantu  guru  dalam  melaksanakan  PBD,  di
               samping memberi idea kepada guru untuk mempelbagaikan kaedah pentaksiran serta kaedah
               pengajaran dan pembelajaran bagi mewujudkan suasana bilik darjah yang menyeronokkan.

               Panduan Pelaksanaan PBD Edisi Ke-2 ini telah dikemaskini dengan maklumat yang terkini. Bab
               6 yang berkaitan PBD Berasaskan Projek telah ditambah untuk menerangkan cara mentaksir
               projek bersama rubrik yang dibangunkan. Bab 8 yang berkaitan Pengurusan Pentaksiran Bilik
               Darjah memberi penerangan tentang pengurusan PBD di sekolah supaya pelaksanaan PBD
               lebih  berkesan  dan  berkualiti.  Selain  itu,  penerangan  tentang  Templat  PBD  Tahap  1  juga
               disisipkan dalam Bab 3 dan penerangan tentang Penjaminan Kualiti Pentaksiran Bilik Darjah
               juga ditambah baik dalam Bab 5.

               Pentaksiran berterusan secara formatif dan sumatif dalam PBD ini merupakan tumpuan utama
               Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai salah satu wahana bagi memastikan perkembangan
               holistik dalam kalangan murid. Sehubungan itu, buku ini juga diharap dapat menjadi panduan
               kepada pengurus dan pelaksana kurikulum dalam usaha memastikan kurikulum dilaksanakan
               dengan lebih berkesan.

               Akhir  kata,  saya  ingin  merakamkan  setinggi-tinggi  penghargaan  dan  terima  kasih  kepada
               semua  pihak  yang  terlibat  secara  langsung  atau  tidak  langsung  dengan  penerbitan  buku
               Panduan Pelaksanaan PBD Edisi Ke-2 ini.  Semoga buku panduan ini dapat dimanfaatkan oleh
               semua pihak yang terlibat.

               Sekian.


               Dr. MOHAMED BIN ABU BAKAR
               Pengarah
               Bahagian Pembangunan Kurikulum
               Kementerian Pendidikan Malaysia
               2019





                                                            vii
   6   7   8   9   10   11   12   13   14   15   16