Page 356 - BUKU TEKS MPV PEMPROSESAN MAKANAN TINGKATAN 4 DAN 5
P. 356
Ikon Usahawan yang Berjaya
Apabila membincangkan topik mengenai ikon usahawan yang
berjaya di Malaysia, pasti anda membayangkan tokoh-tokoh seperti 7.1.4 Membincangkan ciri ikon
Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, Ananda Krisnan, Datuk Steven Sim, usahawan yang berjaya.
Robert Kuok, Tan Sri Azman Hashim, Dato' Dr. Haji Ramly Mokni
dan ramai lagi. Nama-nama ini sering disebut dan dikenali umum.
Mari pelajari kisah kejayaan mereka mengusahakan perniagaan
masing-masing.
Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary
Nama: Tan Sri Syed Mokhtar Shah
bin Syed Nor Albukhary
Asal: Alor Setar, Kedah
Jawatan: Pengerusi Yayasan Al-Bukhary
Latar belakang
Tan Sri Syed Mokhtar telah memulakan langkah ke dunia pekerjaan sejak di bangku persekolahan lagi.
Beliau merupakan anak ketiga daripada tujuh adik-beradik. Tan Sri Syed Mokhtar akan membantu ibunya
menanam dan menjual sayur-sayuran di pasar. Apabila pulang dari sekolah beliau akan membantu bapanya
menternak lembu dan kerbau. Perniagaan penternakan lembu dan kerbau bapanya terkena wabak penyakit
kuku dan mulut yang menyebabkan kerugian yang besar. Beliau mengambil keputusan untuk mengambil
alih perniagaan bapanya. Usahawan ini memulakan perniagaannya dengan membeli daging yang tidak
terjual di pasar dan menjualnya kembali ke peniaga bumiputera atau ke restoran di sekitar Alor Setar.
Seterusnya, beliau beralih ke bidang pengangkutan dan berjaya mendapatkan permit bagi empat buah
lori kelas A melalui pinjaman MARA. Beliau telah membeli dua buah lori Mercedes 911LS untuk perniagaan
pengangkutannya itu. Perniagaannya semakin berkembang, sehingga beliau berjaya menubuhkan pelbagai
syarikat dan bekerjasama dengan syarikat-syarikat antarabangsa sekitar tahun 1970-an. Perkembangan
perniagaan menjadikan beliau salah seorang pemegang saham yang terbesar dalam beberapa syarikat
terkemuka negara. Tan Sri Syed Mokhtar telah mengasaskan Yayasan Albukhary pada tahun 1996. Melalui
Yayasan ini, beliau telah banyak menyumbang untuk membiayai pelbagai program kebajikan. Yayasan
Albukhary juga sering mengadakan dialog peradaban untuk menggalakkan toleransi dan persefahaman
antara masyarakat berbilang agama dan kepercayaan. Ikon usahawan ini telah dipilih sebagai tokoh Maal
Hijrah peringkat kebangsaan pada tahun 2008. Walaupun begitu, beliau menjalani kehidupan dengan
penuh kesederhanaan walaupun memiliki aset yang bernilai bilion ringgit.
Terkini, beliau dikhabarkan telah membeli saham syarikat penerbitan terbesar di Malaysia
iaitu Media Prima Berhad dengan nilaian sebanyak RM74 juta (bersamaan 11.09% pegangan
saham). Dengan pembelian ini menjadikan beliau menguasai dua syarikat penyiaran besar selain
daripada TMR Media Sdn. Bhd. iaitu penerbit bagi The Malaysian Reserve dan Utusan Malaysia
(M) Sdn. Bhd. Kekayaan beliau merupakan hasil daripada pegangan saham di dalam syarikat
MMC Corp dan DRB-Hicom. Operasi yang dijalankan oleh MMC Corp adalah berkaitan dengan pelabuhan,
pengangkutan, pembinaan dan kejuruteraan manakala DRB-Hicom terlibat dengan automotif, hartanah dan
pendidikan.
Bermula dari September 2018, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary telah menjual sebanyak 49.9% saham
pegangannya di dalam Proton Holding melalui syarikat DRB-Hicom kepada Zhejiang Geely Holding Group
bernilai US107 juta. Walau bagaimanapun, syarikat DRB-Hicom masih lagi mempunyai 50.1% saham dalam
Proton Holding (Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary pemegang saham sebanyak 85% DRB-Hicom). Kejayaan Tan
Sri Syed Mokhtar bermula daripada dorongan untuk memajukan ekonomi keluarga yang serba kekurangan.
Berkat usaha perniagaan kecil-kecilan akhirnya berjaya menjadi antara konglomerat terkemuka di Malaysia.
Beliau juga tidak melupakan untuk bersedekah dan memberi kepada golongan yang kurang bernasib baik.
(Petikan dipetik dan disesuaikan daripada Majalah Forbes.)
350

