Page 5 - Bahasa_Melayu_Komunikasi_Pendidikan_Khas_Tingkatan_2
P. 5
PENDAHULUAN
Buku Teks Bahasa Melayu Komunikasi (Pendidikan Khas) Tingkatan 2 Sekolah
Menengah ini ialah satu komponen mata pelajaran Bahasa Melayu untuk
Tingkatan 2. Buku ini ditulis berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah
Menengah Pendidikan Khas (KSSMPK) Bahasa Melayu Komunikasi Tingkatan 2.
Kandungannya terbahagi kepada sembilan tema utama, iaitu Keperluan Asas
Manusia, Tumbuhan Herba, Kerja Tangan, Kesihatan Kaki dan Kasut, Sungaiku
Indah dan Bersih, Malaysia Tanah Airku, Cuti-cuti Malaysia, Semangat Kejiranan,
dan Pengurusan Kewangan.
Buku ini memuatkan bahan dan aktiviti bagi membolehkan murid menguasai
bahasa Melayu. Penulisan buku ini disusun sedemikian untuk membolehkan
penggabungjalinan ilmu yang lebih mantap dalam kalangan murid, bersifat
boleh berdiri sendiri, serta dapat menjadi panduan kepada guru dalam
melaksanakan pengajaran dan pembelajaran. Unit-unit dalam buku ini
dimulakan dengan halaman rangsangan sebagai pengenalan, diikuti dengan
isi pembelajaran serta aktiviti dan latihan berdasarkan Standard Pembelajaran.
Aktiviti juga disediakan dalam setiap tema. Murid akan didedahkan dengan
aktiviti mendengar dan bertutur, melihat, mengecam dan mengisyarat,
kemahiran membaca dan mengisyarat dan kemahiran menulis.
Isi pembelajaran, aktiviti dan latihan yang disediakan mengutamakan
kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid berdasarkan Standard Pembelajaran.
Aktiviti dan latihan yang disediakan bertindak sebagai pelengkap kepada
kandungan yang disampaikan dalam setiap unit. Terdapat juga aktiviti
berkumpulan untuk menggalakkan pembelajaran kolaboratif.
Setiap kandungan pembelajaran berfokus pada konsep Bahasa Melayu
Komunikasi yang spesifik dan kemahiran kandungan yang berkaitan. Konsep
Bahasa Melayu Komunikasi yang dipilih berdasarkan tahap umur murid,
sekali gus memberikan asas yang kukuh kepada murid dalam pembelajaran
Bahasa Melayu dan pembangunan intelektual. Selain konsep Bahasa Melayu
Komunikasi, elemen Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK), Kreativiti dan
Inovasi serta Keusahawanan turut diterapkan melalui kandungan dan aktiviti
dalam buku ini. Glosari, indeks dan rujukan turut disediakan dalam bahagian
akhir buku teks ini.
Buku ini menggunakan pendekatan penceritaan melalui watak, iaitu Izalia,
Fatin, Hana, Jane, Morgan, Chin Fei dan Samson. Mereka dibimbing oleh Cikgu
Najah, Cikgu Shanti, Cikgu Liza dan Cikgu Dali. Melalui pendekatan penceritaan
ini, diharapkan agar murid dapat merasai keseronokan belajar dan seterusnya
menguasai kemahiran berkomunikasi.
iv

