Page 8 - PENGURUSAN DIRI Ting 1 KSSMPK KS
P. 8
PENDAHULUAN
Buku teks Pengurusan Diri Pendidikan Khas Tingkatan 1 ini ditulis berdasarkan
Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Pendidikan Khas. Kurikulum
Standard Sekolah Menengah Pendidikan Khas (KSSMPK) ini digubal bagi
memenuhi keperluan dasar baharu di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (PPPM) 2013-2025 supaya setanding dengan standard antarabangsa
serta bagi memastikan kurikulum yang sesuai dan relevan disediakan untuk
murid berkeperluan khas (MBK).
Di samping itu, kurikulum ini mengambil kira pendidikan yang sesuai dan
relevan bagi semua murid berkeperluan khas (MBK). Kurikulum ini juga menjurus
kepada peningkatan potensi sedia ada bagi melahirkan kumpulan separuh mahir
dan seterusnya menjadi aset kepada negara.
Kurikulum Standard Sekolah Menengah Pendidikan Khas (KSSMPK)
Pengurusan Diri Pendidikan Khas Tingkatan 1 memberi penekanan kepada
pengetahuan dan kemahiran. Buku ini terdiri daripada lima unit iaitu mengurus
diri, mengurus bengkel, advokasi diri, menyedia dan menyaji/mengepek
makanan serta menjahit artikel mudah. Kesemua unit menekankan pemahaman
kepada perkara asas terlebih dahulu sebelum menjurus kepada perbincangan
yang lebih mendalam.
Selain isi kandungan utama, terdapat cadangan aktiviti, nota guru,
KBAT dan nilai murni serta aplikasi QR code bagi menggapai pautan video
pembelajaran di Internet dalam beberapa aktiviti murid. Pada akhir subunit juga
disediakan ruang bagi murid menguji dan mengukuhkan pemahaman terhadap
tajuk berkenaan.
Semoga buku ini akan dapat menyemarakkan lagi peningkatan ilmu dan
sebagai panduan bermanfaat kepada guru dan murid dalam proses pengajaran
dan pembelajaran di dalam kelas.
Sekian.
v

