Page 96 - BUKU TEKS BAHASA MELAYU TAHUN 5
P. 96

Membaca


           Farisha membacakan Rubini dan Shu Fen
           petikan cerpen ilham kakaknya.


                       Bubur Lambuk Perpaduan
           Amin terus mengayuh basikalnya ke balai raya. Suraj
           dan Ah Meng mengekorinya.
               “Atuk, bubur lambuk dah habis!” laung Amin sejurus
           dia menyandarkan basikal di pagar.
               “Kami perlukan banyak lagi, tuk! Ada beberapa buah
           rumah lagi yang belum dapat,” sambung Suraj
           pula dengan termengah-mengah akibat kepenatan.
               Pak Osman tersenyum. Cucu dan rakan-rakan memang rajin membantu.
           Mereka mengagihkan bubur lambuk perpaduan itu dengan lancarnya.
           Zaman kanak-kanak memang menyeronokkan. Amin, Suraj dan Ah Meng tidak
           pernah menolak jika diminta untuk membantu Pak Osman di balai raya.
               Jam menunjukkan pukul enam petang. Masih sempat lagi bubur lambuk itu
           sampai ke muka pintu rumah penduduk kampung sebelum waktu berbuka puasa.
           Penduduk beragama Islam bolehlah menjadikan bubur itu sebagai juadah berbuka
           puasa, manakala yang bukan Islam boleh menikmatinya sebagai juadah iringan
           makan malam nanti. Rezeki sesuap sama dirasa. Saban tahun, penduduk kampung
                                              menantikan bubur lambuk perpaduan masakan
                                               Pak Osman.
                                                      Sejak pagi lagi, penduduk Kampung Seri
                                               Cempaka sudah memenuhi balai raya itu. Mereka
                                               bergotong-royong untuk menyediakan bahan
                                               masakan, memasak dan membungkus bubur
                                              lambuk. Yang lebih membanggakan apabila
                                              penduduk kampung, tidak kira agama, bangsa dan
                                              kaum tidak putus-putus memberikan sumbangan
                                              ikhlas dalam bentuk barangan atau wang. Sepakat
                                              membawa berkat, mungkin inilah sebabnya bubur
                                             lambuk perpaduan enak dan sedap.
               “Terima kasih saya ucapkan kepada semua. Kita bersurai dahulu. Jangan lupa
           ambil bungkusan bubur lambuk masing-masing,” ucap Pak Osman selepas siap
           berkemas.
               Amin, rakan-rakan dan penduduk kampung melangkah pulang dengan
           gembiranya, walaupun penat seharian bekerja. Kemesraan terjalin indah dan
           perpaduan akan terus utuh di Kampung Seri Cempaka.

           82
          KPM
   91   92   93   94   95   96   97   98   99   100   101