Page 6 - BTD Bahasa Melayu KSSM Tingkatan 2
P. 6

Pendahuluan





                    Buku teks Bahasa Melayu Tingkatan 2 ini menterjemahkan hasrat yang tercakup dalam Dokumen
                    Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Tingkatan 2, Kurikulum Standard Sekolah Menengah
                    (KSSM) yang disediakan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) melalui persembahan
                    bahan berwarna-warni yang menarik. Kemahiran Mendengar dan Bertutur, Kemahiran Membaca,
                    Kemahiran Menulis, Seni Bahasa, dan Tatabahasa yang tersenarai dalam DSKP disusun atur mengikut
                    kesesuaian daripada tahap mudah kepada tahap sukar berdasarkan susunan bab dengan harapan
                    kemahiran dan pengetahuan tersebut dapat dipelajari secara beransur maju.
                        Buku ini didasari oleh bahan-bahan rangsangan daripada 18 tema dengan 36 unit pembelajaran
                    yang berasaskan modul yang dipecahkan mengikut tiga kemahiran bahasa yang utama, seni bahasa,
                    dan pengetahuan tatabahasa. Walaupun tema-tema ini adalah sama seperti buku teks Bahasa Melayu
                    Tingkatan 1, skop bahan yang dipilih adalah berbeza. Pemilihan bahan telah dibuat secara teliti
                    dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk cita rasa kumpulan sasaran, kepentingan, keperluan,
                    kesesuaian, kemudahbacaan, kebolehbacaan, ketepatan, kesahan, dan variasi bahan untuk memastikan
                    bahan yang digunakan sebagai rangsangan adalah menepati piawai. Bahan-bahan juga diperoleh
                    daripada pelbagai sumber, iaitu sumber sekunder melalui bacaan serta rujukan dan sumber primer
                    melalui pemerhatian, kajian lapangan serta wawancara.
                        Dari segi persembahan pula, bahan-bahan terpilih ini dipersembahkan dalam bentuk paparan
                    yang lebih segar dan menarik. Gabungan antara teks, audio, video, dan grafik berserta permainan
                    warna yang dimanfaatkan sepenuhnya telah menjadikan setiap halaman memberi murid pengalaman
                    pembelajaran yang menarik dan sangat berharga. Grafik dan gambar beresolusi tinggi yang digunakan
                    bukan sekadar hiasan kerana setiap satunya berfungsi dan membawa makna yang tersendiri walaupun
                    grafik tersebut terletak di halaman rangsangan bagi setiap tema. Teknologi QR Code juga digunakan
                    khusus untuk memuatkan bahan bantu belajar bagi kemahiran mendengar dan bertutur dalam bentuk
                    audio dan video. Selain itu, QR Code ini juga digunakan bagi menampung maklumat tambahan dalam
                    bentuk teks yang terdiri daripada nota tatabahasa, info bestari, jawapan bagi latihan tatabahasa, dan
                    lain-lain.
                        Untuk menjadikan buku teks ini lebih mesra pengguna, pernyataan Standard Pembelajaran (SP)
                    disertakan dalam setiap halaman. Aktiviti yang dicadangkan juga berbentuk umum bagi membuka
                    ruang yang seluas-luasnya kepada guru dan murid untuk menentukan strategi dan teknik pengajaran
                    dan pembelajaran yang hendak digunakan agar bersesuaian dengan minat, kecenderungan, kesediaan
                    dan keperluan murid, serta prasarana yang ada. Selain itu, latihan tambahan kendiri dalam bentuk
                    eksplorasi minda juga disediakan bagi memudahkan murid memperkaya pengalaman belajar.
                    Permainan bahasa yang kreatif, santai, dan berbentuk didik hibur juga disertakan dan menjadi nilai
                    tambah bagi buku ini. Begitu juga dengan empat bahagian penilaian yang mencakupi semua konstruk
                    dan kemahiran penting yang perlu dikuasai oleh murid.  Keempat-empat penilaian dihadirkan dalam
                    pelbagai stimulus dan bentuk penyoalan yang mendedahkan murid kepada kepelbagaian item bagi
                    menilai penguasaan bahasa mereka.
                        Ikon-ikon yang menarik juga digunakan bagi menjelaskan bahagian-bahagian tertentu dalam
                    buku ini.







                      vi
   1   2   3   4   5   6   7   8   9   10   11