Page 61 - PELAN ANTIRASUAH FELDA 2020-2024
P. 61
PELAN ANTIRASUAH FELDA 2020-2024
KAWAL SELIA KE ATAS PEGAWAI BAWAHAN
Sebagai rumusan kepada Bab 6 ini, peranan ketua jabatan sama ada di peringkat jabatan, unit, wilayah
dan rancangan amat penting dalam memerangi jenayah rasuah dan pelanggaran tatatertib. Adalah
menjadi tanggungjawab untuk sentiasa memberi peringatan dan menguatkuasakan kawalan dan
pengawasan tatatertib ke atas pegawai bawahannya bagi mencegah perbuatan jenayah rasuah dan
pelanggaran tatatertib. Persoalannya ramai kalangan ketua jabatan lemah atau gagal mengawal selia,
memantau dan memastikan pegawai bawahan masing-masing mematuhi sistem dan prosedur kerja
dan peraturan jabatan atau agensi yang berkuatkuasa serta tidak bertegas mengambil tindakan ke
atas pegawai bermasalah.
Perlu dijelaskan bahawa mengikut Seksyen 4 (Tafsiran), Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib Dan
Surcaj) 2000 maksud Ketua Jabatan ertinya seseorang pegawai yang bertanggungjawab bagi sesuatu
jabatan, bahagian, unit atau cawangan sesuatu badan berkanun, dan termasuklah mana-mana
pegawai yang diberi kuasa secara bertulis oleh Lembaga untuk menjalankan fungsi-fungsi seorang
Ketua Jabatan bagi apa-apa tempoh masa;
Di dalam Seksyen 4, Akta tersebut juga memperjelaskan maksud Pegawai ertinya seseorang yang
diambil bekerja secara tetap, sementara atau kontrak oleh sesuatu badan berkanun, dan dibayar
emolumen oleh badan berkanun itu, dan termasuklah seseorang yang dipinjamkan ke mana-mana
perbadanan subsidiari atau syarikat badan berkanun itu atau mana-mana badan berkanun yang
lain atau mana-mana Kementerian, jabatan atau agensi Kerajaan Persekutuan atau mana-mana
jabatan atau agensi Kerajaan mana-mana negeri atau mana-mana syarikat yang dalamnya Kerajaan
Persekutuan atau Kerajaan mana-mana Negeri mempunyai kepentingan.
Tanggungjawab Ketua Jabatan
Mengikut Peraturan 21(1), Jadual Kedua, Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib Dan Surcaj) 2000
pula menyatakan “Adalah menjadi tanggungjawab tiap-tiap pegawai untuk menjalankan kawalan dan
pengawasan tatatertib ke atas pegawai-pegawai bawahannya dan untuk mengambil tindakan yang
bersesuaian bagi apa-apa pelanggaran peruntukan”.
Manakala Peraturan 21(2), Jadual Kedua, Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib Dan Surcaj) 2000
bermaksud “Seseorang pegawai yang tidak menjalankan kawalan dan pengawasan tatatertib ke atas
pegawai-pegawai bawahannya, atau tidak mengambil tindakan terhadap pegawai bawahannya yang
melanggar mana-mana peruntukan Peraturan-Peraturan ini hendaklah disifatkan telah cuai dalam
melaksanakan tugasnya dan tidak bertanggungjawab, dan dia boleh dikenakan tindakan tatatertib”.
Sehubungan dengan itu, Semua pegawai yang ditugaskan sebagai Ketua Jabatan adalah
bertanggungjawab di bawah Peraturan 21(2), Jadual Kedua Akta ini, mengawal selia dan pengawasan
tatatertib pegawai bawahan masing-masing. Sekiranya pegawai itu disyaki melakukan jenayah rasuah
dan pelanggaran tatatertib wajib secepat mungkin melaporkan kepada Unit Integriti FELDA.
FELDA ANTI-CORRUPTION PLAN (FACP) 2020–2024 49

