Page 63 - PELAN ANTIRASUAH FELDA 2020-2024
P. 63
PELAN ANTIRASUAH FELDA 2020-2024
PENUTUP
Di dalam Pelan Antirasuah Nasional 2019 -2023 (NACP), FELDA telah disebutkan sebagai salah satu
agensi yang terpalit dengan skandal mega yang mana terlibat dengan isu kleptokrasi dan mencemarkan
imej negara yang menyaksikan Malaysia kehilangan berbillion ringgit. Pembentangan Kertas Putih
pada 10 April 2019 pula telah mendedahkan pelbagai skandal yang secara jelas mendapati wujudnya
elemen jenayah rasuah dan salah laku peringkat tertinggi sehingga dilabel sebagai kedurjanaan tadbir
urus (corporate malfeasance). Fakta ini secara sistematik telah menghakis keyakinan umum terhadap
ketelusan dan kredibiliti FELDA.
Oleh yang demikian, Pelan Antirasuah FELDA 2020-2024 (FACP) ini akan berperanan sebagai suatu
kerangka bagi fasa pemulihan dan transformasi ke arah mencapai matlamat FELDA yang bersih
daripada jenayah rasuah dan menjadi contoh sebagai salah sebuah agensi berintegriti dan tadbir
urus terbaik. Pelan ini bukanlah sebagai satu jaminan yang salah laku jenayah rasuah, ketirisan dan
kelemahan tidak berlaku langsung kerana semuanya adalah bergantung kepada kesedaran integriti
dalam diri setiap petugas FELDA masing-masing. Sebaliknya dokumen ini adalah satu komitmen yang
dizahirkan oleh FELDA dalam usaha untuk menutup ruang dan peluang kepada berlakunya jenayah
rasuah dan pelanggaran tatatertib yang ditegah oleh undang-undang, agama dan peraturan.
Pengurusan FELDA juga akan memastikan capaian kepada aspek tadbir urus sumber manusia dan
kewangan adalah mencukupi untuk melaksanakan inisiatif masing-masing. Pengurusan FELDA
juga akan sentiasa peka dengan keperluan semasa serta mempertimbangkan segala maklum balas,
cadangan dan idea dari semasa ke semasa daripada para pemegang taruh bagi memastikan Pelan ini
sentiasa kekal relevan.
Kejayaan pelaksanaan 79 inisiatif dalam tempoh lima tahun ini diharapkan boleh menaikkan aras
(raising the bar) FELDA dalam mencapai kelestarian untuk tempoh yang mendatang.
FELDA ANTI-CORRUPTION PLAN (FACP) 2020–2024 51

