Page 96 - Pendidikan Moral Tingkatan 5 KSSM
P. 96
A Baca teks yang berkaitan dengan integriti dalam pentadbiran negara dan jawab
6 soalan di bawah.
INTEGRITI CITRA NEGARA
Secara umumnya, integriti ialah kualiti unggul yang perlu ada pada diri seseorang
individu, organisasi dan negara. Budaya integriti ini berkait rapat dengan etika
dan nilai murni. Kepentingan meletakkan budaya berintegriti pada tahap tertinggi
bukanlah suatu perkara yang baharu tetapi perlu menjadi keutamaan hidup setiap
individu.
Setiap anggota organisasi perlu menerapkan dan mengutamakan budaya integriti
dalam usaha memberikan perkhidmatan yang terbaik. Mereka perlulah bersikap
jujur dan amanah, telus, berwibawa, akauntabiliti serta patuh akan peraturan dan
undang-undang.
Walau bagaimanapun, banyak isu yang melibatkan akauntabiliti dan integriti
berlaku dalam kalangan anggota sesebuah organisasi. Isu seperti penyalahgunaan
kuasa, pembaziran, pecah amanah, rasuah dan penyelewengan yang dilakukan oleh
segelintir anggota organisasi boleh menjejaskan imej organisasi, malah memberikan
kesan kepada negara.
Maka, adalah penting bagi setiap anggota organisasi untuk melaksanakan amanah
dengan sebaik-baiknya supaya tahap kepercayaan masyarakat terhadap organisasi
dan negara tidak terjejas.
(Sumber: Dipetik dan diubah suai daripada www.integriti.my)
Dicapai pada 18 Ogos 2020
1. Kenal pasti contoh integriti dalam teks di atas.
2. Ramalkan kesan yang wujud dalam pembangunan negara sekiranya integriti diabaikan.
3. Terangkan cabaran yang dihadapi oleh para pemimpin dalam membina integriti demi
pembangunan negara.
4. Huraikan cara melaksanakan tanggungjawab dengan berintegriti demi pembangunan
negara.
B Baca dan jawab soalan di bawah.
RAKYAT BERINTEGRITI
NEGARA DISANJUNGI
Adakah anda bersetuju dengan pernyataan di atas? Bincangkan.
86

