Page 3 - A4_15102017_TABSOR + ABC AL-KAHFI
P. 3
Sekacip Rasa Sesirih Minda
MODUL Pembelajaran TABSOR + ABC akhirnya dapat direalisasikan. Naskhah ini bukan
sahaja mendapat kebenaran ISBN dari segi penerbitannya, malah telah memperoleh hak
cipta yang terpelihara atau copyright. Salinan keras yang anda pegang ini melalui proses
yang panjang dan perjalanannya penuh dengan onak dan duri. Akan tetapi, dengan
kesungguhan, komitmen yang tinggi, serta berbekalkan niat demi anak bangsa Malaysia
yang tercinta, akhirnya naskhah kecil ini menjadi satu kenyataan; seperti moto kumpulan
Al-Kahfi, “Imaginasi Menjadi Realiti”.
Penerbitan modul ini memenuhi aspirasi kumpulan Al-Kahfi; sebagai pemimpin pedagogi
dengan menghasilkan lebih banyak inovasi yang berkaitan dengan pembelajaran.
Dengan dibarisi oleh para pensyarah yang sangat berpengalaman dalam bidang
pedagogi, penghasilan naskhah ini akan menjadi sumbangan yang besar dalam dunia
pendidikan lebih-lebih lagi ketika sistem pendidikan kita dihambat dengan cabaran yang
tidak pernah habis. Antara hambatannya ialah menjadikan murid-murid mempunyai
kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dalam menangani sebarang permasalahan apabila
mereka keluar daripada alam persekolahan nanti. Dalam usaha meningkatkan KBAT
dalam kalangan murid, kelahiran naskhah ini memang tepat pada masanya.
Modul ini bukan sahaja menekankan aspek keberhasilannya, tetapi juga mengambil
impak keseluruhannya. Hal ini kerana, murid-murid bukan sahaja dibantu untuk
menjawab kertas Bahasa Melayu penulisan dengan menggunakan Alat Berfikir
Cemerlang (ABC), tetapi juga ciri-ciri pembelajarannya dirangka bagi meningkatkan KBAT
dalam kalangan murid. Dengan berasaskan kerangka TABSOR, pencapaian murid dapat
ditingkatkan sekali gus menerapkan pembelajaran abad ke-21 yang menekankan elemen
komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis dan pemikiran kreatif. TABSOR + ABC antara
lainnya memperkenalkan alat berfikir seperti Garisan Masalah, PAL, SAF, Tiga Serangkai,
dan ERA IKRAM. Yang paling utama dalam kerangka TABSOR ini ialah proses
pembelajaran yang menekankan kemenjadian murid.
Kami berharap modul ini dapat membantu guru-guru dan murid dalam meningkatkan
pemikiran aras tinggi selain menajamkan pemikiran kritis serta penjanaan idea melalui
pemikiran kreatif. Selain itu, modul ini pasti akan dapat membantu murid dalam
memahirkan diri dalam aktiviti membina ayat melalui ABC AMA, aktiviti mengembangkan
idea dengan alat ABC AMI, dan menulis ulasan dengan ABC AMU. Terimalah naskhah kecil
daripada Kumpulan Al-Kahfi dari Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru
Kampus Tun Abdul Razak ini untuk digunakan di bilik-bilik darjah. Ilmu yang kecil ini
hanya sebutir pasir daripada sekalian banyaknya terhampar di pantai.
2

