Page 4 - BUKU PROGRAM KONBAYU 2021
P. 4
KATA ALU-ALUAN REKTOR
INSTITUT PENDIDIKAN GURU MALAYSIA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera,
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, dengan izin dan kurnia-Nya, perancangan menganjurkan
Konvensyen Bahasa Melayu 2021 (KONBAYU) dapat direalisasikan. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan
kepada seluruh warga Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM) yang sangat komited
dalam menjayakan konvensyen yang dianjurkan ini. Ucapan penghargaan juga saya tujukan buat semua
pembentang kertas kerja atas sumbangan mereka dalam menjadikan konvensyen ini sebagai medan
perkongsian pengalaman dan cetusan idea ke arah menempa kejayaan dalam bidang pendidikan negara ini.
Sesungguhnya, tema KONBAYU 2021 “Bersama-sama Memartabatkan Pendidikan Bahasa Melayu”
dalam menjana pembelajaran abad ke-21 ini sangat tepat. Hal ini demikian kerana, selain menguasai
dan mencintai bahasa kebangsaan, sebagai warga negara Malaysia kita perlu menjadikan bahasa
Kebangsaan sebagai asas perpaduan negara. Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
telah dijamin oleh Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sejak kemerdekaan Persekutuan Tanah
Melayu pada 31 Ogos 1957 dan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.
Saya sangat yakin, penat lelah warga kerja IPGKBM dalam menganjurkan KONBAYU 2021 ini pasti terbayar
apabila perkongsian ilmu dan perbincangan dapat memberi impak positif kepada institusi pendidikan masa
kini. KONBAYU 2021 ini menjadi medium yang mampu meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia,
khususnya dalam pemartabatan pendidikan Bahasa Melayu. Hal ini demikian kerana KONBAYU 2021 akan
menghimpunkan pelbagai golongan pendidik dan agensi lain untuk berkongsi dan menyebar luas maklumat
berdasarkan dapatan penyelidikan, inovasi, diskusi ilmiah dan poster yang dipertandingkan.
Akhir sekali saya berharap IPGKBM terus komited dalam menjayakan konvensyen begini pada masa akan
datang. Saya juga berharap agar semua yang terlibat dalam KONBAYU 2021 ini dapat memberi sokongan
dan komitmen yang padu demi kecemerlangan serta kualiti pendidikan bahasa Melayu.
Sekian terima kasih.
DR. RUSMINI BINTI KU AHMAD
Rektor
Institut Pendidikan Guru Malaysia
Kementerian Pendidikan Malaysia
KONBAYU KONVENSYEN BAHASA MELAYU 2021 | 27 - 29 JULAI 2021 | IPG KAMPUS BAHASA MELAYU 3

