Page 5 - BUKU PROGRAM KONBAYU 2021
P. 5
KATA ALU-ALUAN PENGARAH
INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS BAHASA MELAYU
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera,
Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah serta
iradat-Nya maka Konvensyen Bahasa Melayu 2021 (KONBAYU 2021) kali pertama dapat dijayakan.
“Bersama-sama Memartabatkan Pendidikan Bahasa Melayu” menjadi tema konvensyen tahun ini. Tema
tersebut selaras dengan dasar negara, iaitu Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris
(MBMMBI) yang mula dilaksanakan pada tahun 2011.
Pemilihan tema ini adalah amat bersesuaian dengan peranan guru kerana sejak dahulu lagi guru merupakan
insan yang membuka minda anak-anak murid dalam aspek berbahasa Melayu baik dalam penulisan mahupun
lisan. Sesungguhnya, guru sering dianggap sebagai satu contoh terbaik yang menjadi ikutan pelajar. Oleh
itu, guru memainkan peranan yang penting dalam memupuk minat murid-murid untuk menggunakan bahasa
Melayu dengan baik.
Selaras dengan itu, penganjuran KONBAYU 2021 menghimpunkan pelbagai golongan pendidik dan agensi
lain yang akan berkongsi ilmu, idea, amalan pedagogi, penyelidikan dan inovasi dalam pengajaran dan
pembelajaran Bahasa Melayu selari dengan perkembangan dunia pendidikan abad ke-21. Saya percaya
konvensyen ini dapat menjadi platform yang berkesan dalam membudaya dan memperkasakan pembelajaran
sepanjang hayat bagi semua warga Kementerian Pendidikan.
Akhir kata, saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang
terlibat dalam menjayakan KONBAYU 2021. Besarlah harapan saya agar konvensyen yang diadakan ini
dapat membakar semangat semua untuk mengintegrasikan hasil positif dan mengadaptasi penemuan
terbaharu bagi memantapkan lagi sistem pendidikan negara.
Tahniah dan syabas.
Sekian, terima kasih.
HAJAH NOR ASILAH BINTI OSMAN B.C.K
Pengarah
Institut Pendidikan Guru
Kampus Bahasa Melayu
KONBAYU KONVENSYEN BAHASA MELAYU 2021 | 27 - 29 JULAI 2021 | IPG KAMPUS BAHASA MELAYU 3

