Page 6 - BUKU CENDERAMATA MAJLIS IHTIFAL KECEMERLANGAN KALI KE-31 (2019) SERI & SEMI ABIM SG. RAMAL, KAJANG
P. 6
Sekapur Sireh
Assalaamualaikum W.B.T.
Segala puji bagi Allah. Penguasa seluruh alam semesta. Selawat dan salam kepada
junjungan nabi kita Muhammad S.A.W. serta kaum keluarganya, sahabat-sahabatnya, para
tabien dan mereka yang mengikuti jejak langkah sehingga hari kiamat.
Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana telah
mengizinkan kita pada hari ini untuk bersama-sama dalam majlis Ihtifal Kecemerlangan SERI/
SEMI ABIM Kali Ke-31 bagi sesi 2019. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada
barisan guru-guru yang telah bertungkus lumus dari awal tahun untuk memberikan pendidikan
yang terbaik kepada pelajar-pelajar sekalian. Semangat dan iltizam yang telah diberikan oleh
guru-guru adalah untuk memastikan visi dan misi sekolah akan tercapai. “Pendidikan Al-Hikmah,
Mengangkat Martabat Ummah” adalah tema bagi sambutan Ihtifal pada tahun ini.
Hampir tiga dekad, SERI/SEMI ABIM terus berdiri teguh dalam mendepani cabaran
pendidikan di negara ini. Penetapan hala tuju pendidikan pada masa kini bukan setakat memberi
ilmu kepada pelajar-pelajar tetapi juga untuk membangunkan nilai-nilai yang terpuji dalam diri
pelajar.
SERI/SEMI ABIM amat komited atas perkara ini dan kerana itulah telah lahirnya
Falsafah Pendidikan Al-Hikmah sebagai lanjutan dan penjenamaan semula Falsafah Pendidikan
ABIM sebelum ini. Ilmu sahaja tidak mencukupi dalam melengkapkan diri sebagai manusia yang
terbaik tetapi perlu dilengkapkan dengan sahsiah dan akhlak terpuji. Pembinaan diri insan
melalui ilmu adalah perlu kepada proses yang menyeluruh dan seimbang yang menjurus kepada
penyempurnaan pembinaan insan yang sempurna. Pendidikan yang melengkapi keperluan untuk
membentuk insan yang kamil akan melahirkan insan yang unggul sebagai manusia yang bermaruah,
berintegriti serta harga diri yang tinggi. Keunggulan dirinya itu akan dapat memenuhi tuntutan
dan tugasannya sebagai khalifah di muka bumi ini.
Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar yang telah
berjaya menempatkan diri dalam kalangan mereka yang cemerlang dalam bidang akademik.
Semoga kecemerlangan yang dicapai pada hari ini ini dapat diteruskan pada masa akan
datang. Kepada pelajar yang lain, usia anda dan peluang masih terbentang luas dan teruskan
usaha serta tidak berputus asa untuk meraih kejayaan di masa akan datang.
Sekian, terima kasih.
USTAZ NAZZIL SAIFUDDIN B. ABDUL RAHMAN
(Ketua Pegawai Eksekutif)
6
6

