Page 3 - KANVAS MERDEKA SMKPR
P. 3
Tak Kenal Maka Tak Cinta
Sejarah Sekolah Membuka Lembaran
Sejarah SMK Paya Rumput bermula hasil permintaan penduduk tempatan yang
mahukan satu sekolah menengah di kawasan mereka apabila semakin banyak
taman-taman perumahan dibuka serta pertambahan penduduk di kawasan mereka.
Pada asal pembinaan, sekolah ini dinamakan SMK Bertam disebabkan bahagian
padang kawasan sekolah ini termasuk di dalam Mukim Bertam. Tetapi atas
bantahan penduduk setempat, oleh kerana bahagian bangunan utama dan pintu
hadapan adalah di dalam kawasan Paya Rumput maka sekolah dinamakan dengan
SMK Paya Rumput. Kawasan tapak SMK Paya Rumput ini adalah seluas 70374.29
meter persegi (17.39 ekar) manakala keluasan lantai bangunannya ialah 7910.11
meter persegi (1.96 ekar).
SMK Paya Rumput mula beroperasi pada tanggal 18 September 2012.
Kumpulan pertama yang dihantar bagi menguruskan untuk persediaan operasi
sekolah adalah tiga orang pentadbir iaitu Pengetua, GPK Pentadbiran dan GPK
HEM. Pengambilan kumpulan pertama murid adalah terdiri daripada murid
tingkatan 1,2 dan 4 seramai 302 orang manakala guru-guru seramai 18 guru serta
3 orang staf pelaksana. Murid-murid ini diambil daripada sekolah-sekolah
berhampiran seperti SMK Malim, SMK Tun Haji Abdul Malek dan SMK Dol Said
yang mempunyai alamat rumah berdekatan dengan sekolah. Pada awalnya, hanya
15 kelas dibuka tetapi sekarang kelas telah menjangkau kepada 34 kelas dengan
bilangan pelajar seramai lebih daripada 1000 orang murid.
Majlis Pra Pembukaan sekolah telah disempurnakan oleh Exco Pendidikan
Dato Gan Tian Loo pada 25 September 2012 (Selasa). Manakala pada tanggal 3 Mei
2013, SMK Paya Rumput telah dirasmikan oleh YAB. Datuk Seri Hj. Mohd Ali bin
Hj. Rustam, Ketua Menteri Melaka dengan pengetua pertamanya Datin Wira Hajah
Hamidah bt Hassan. Datin Wira bersara pada tahun Jun 2015 dan digantikan oleh
Puan Hajah Rubaiya bt Abu Nawas pada Julai 2015 hingga kini.

