Page 14 - BUKU PANDUAN PENGURUSAN SMKSI 2022/2023
P. 14
KATA ALU-ALUAN PENGETUA
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Alhamdulillah, marilah sama-sama kita memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana dengan
izin-Nya kita masih lagi diberi kekuatan dan kesungguhan untuk memikul amanah sebagai pendidik di SMK
Seri Indah pada tahun 2022 ini. Tahniah dan jutaan terima kasih kepada ahli Jawatankuasa Buku Pengurusan
2022/2023 kerana telah berjaya menyempurnakan buku ini. Sesungguhnya, buku panduan pengurusan ini
sangat penting sebagai rujukan dan garis panduan kepada guru-guru dan Anggota Kakitangan Pelaksana
(AKP) dalam melaksanakan tugas dengan lebih efisien, berfokus dan berintegriti.
Selaku Pengetua, saya turut berasa bangga dengan pencapaian anak-anak didik di sekolah ini.
Keputusan SPM tahun 2020 yang lalu telah mencatatkan satu sejarah dalam tempoh 6 tahun ini yang boleh
dibanggakan bagi semua warga SEINDAH iaitu yang tertinggi di daerah Petaling Perdana . Sekolah kita telah
menerima lonjakan saujana dengan peningkatan GPS sebanyak 0.82 dan peningkatan peratus sebanyak
10.55 berbanding tahun 2019. Semoga segala cita-cita menuju kecemerlangan diteruskan kerana kejayaan
dan kecemerlangan bukanlah suatu destinasi tetapi suatu perjalanan dan kembara yang tiada batas
sempadannya. Semoga semua warga SEINDAH diberi kekuatan untuk berdiri teguh dan melangkah dengan
penuh semangat bagi merealisasikan visi dan misi sekolah. Kita sedia maklum, bahawa bidang pendidikan
negara sememangnya bersifat dinamik bagi memenuhi keperluan semasa khususnya di peringkat global.
Oleh hal yang demikian, warga pendidik dan AKP merupakan pemangkin yang memikul tanggungjawab yang
besar dalam memberikan pendidikan, menyampaikan ilmu, membentuk peribadi dan sahsiah sekali gus
menjana potensi murid ke arah yang lebih optimum.
Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) Kohort 5, diteruskan pada tahun ini yang merupakan
sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan Malaysia ke arah meningkatkan kemenjadian murid
dan sekolah berkualiti. Oleh itu, saya berharap semua warga SEINDAH berusaha untuk mengaplikasikan
amalan terbaik dalam pelaksanaan pengurusan dan kepimpinan serta pedagogi dalam pembelajaran dan
pengajaran (PdPc) selari dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
(PPPM) 2013 – 2025. Sehubungan dengan itu, diharapkan buku pengurusan ini dapat membantu guru-guru
dan AKP membuat perancangan dan menyediakan program-program khusus dalam semua aspek sepanjang
tahun 2022 bagi merealisasikan matlamat tersebut.
Kita sebagai warga pendidik perlu sentiasa memperlengkap diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran
pembelajaran abad ke-21 bagi mendepani cabaran masa hadapan dalam menempuh Revolusi Industri 4.0.
Dalam hal ini, warga pendidik seharusnya bekerja sebagai satu pasukan bermula di peringkat panitia masing-
masing sehinggalah ke peringkat yang lebih tinggi. Ilmu dan kemahiran yang dimiliki oleh individu seharusnya
dikongsi dan dimanfaatkan semaksimum mungkin untuk meningkatkan mutu pendidikan negara. Secara tidak
langsung, hal ini dapat membentuk warga SEINDAH yang berketerampilan, profesional, berkualiti dan
beretika.
Saya yakin dan percaya bahawa warga SEINDAH mampu menyediakan landskap pembelajaran yang
terancang, terkawal dan sempurna dalam usaha membentuk modal insan yang berkualiti. Selain itu, saya juga
melihat bahawa SMK Seri Indah dapat menjadi wadah terbaik untuk melahirkan insan yang mempunyai
kecemerlangan ilmu dan keunggulan sahsiah yang akhirnya menjadi khalifah yang dapat menyempurnakan
tuntutan agama, bangsa dan negara.
Selamat menjalankan tugas sepanjang tahun 2022/2023.
Sekian terima kasih.
(ROSLINA BINTI CHE OMAR @TALIB)
PENGETUA CEMERLANG
SMK Seri Indah
PENGURUSAN SERI INDAH 2022/23 "SYNERGY TOWARDS EXCELLENCE" 14

