Page 60 - BUKU TEKS TAHUN 6
P. 60
Bacaan Luas
Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Melati
Yang saya hormati Encik Mazlan bin Husin, Timbalan Pengerusi Persatuan
Penduduk Taman Melati, barisan ahli jawatankuasa persatuan, tuan-tuan dan
puan-puan yang saya kasihi.
Terima kasih diucapkan kepada tuan-tuan dan puan-puan kerana sudi hadir
ke majlis taklimat pada hari ini. Pada kesempatan ini, saya ingin menyampaikan
maklumat tentang Jawatankuasa Persatuan Penduduk. Saya berharap agar
maklumat yang disampaikan ini akan membawa kebaikan untuk kita.
Hadirin yang saya hormati,
Jawatankuasa Persatuan Penduduk sudah pun diwujudkan di kawasan
kediaman kita. Jawatankuasa ini terdiri daripada sekumpulan penduduk yang
dilantik oleh penduduk di sini untuk mengurus dan melaksanakan tugas-tugas
tertentu. Jawatankuasa ini dikenali sebagai Jawatankuasa Persatuan Penduduk
Taman Melati.
Jawatankuasa ini mempunyai peranan yang besar kepada penduduk.
Jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan, keharmonian,
keselesaan dan keselamatan penduduk. Jawatankuasa ini juga mewakili suara
penduduk untuk berurusan dengan pihak berkuasa atau pihak pemaju. Selain itu,
jawatankuasa ini turut menggalas tanggungjawab untuk memupuk semangat
muhibah, bekerjasama dan bersatu padu dalam kalangan penduduk.
Menerusi jawatankuasa ini, pelbagai aktiviti telah dapat dirancang
dan dilaksanakan secara berkesan. Aktiviti yang dijalankan meliputi aktiviti
kemasyarakatan dan kebudayaan, sukan dan rekreasi serta keagamaan. Pihak
jawatankuasa akan sentiasa berbincang dan mencari jalan yang terbaik untuk
memastikan aktiviti ini dapat dijalankan dengan lancarnya.
Sesungguhnya, penubuhan jawatankuasa ini membawa manfaat yang
besar kepada penduduk. Dengan adanya jawatankuasa ini, suasana yang
harmoni, selesa dan selamat dapat diwujudkan. Jika jawatankuasa ini wujud,
pelbagai masalah dapat diatasi. Isu-isu yang berkaitan dengan kebersihan,
keselamatan dan kebajikan penduduk dapat diselesaikan.
Akhir kata, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman
Melati, saya menyeru seluruh penduduk Taman Melati agar memberikan
kerjasama yang padu kepada kami. Marilah kita bersatu hati agar matlamat
yang diimpikan dapat dicapai. Ingatlah, “bulat air kerana pembetung, bulat
kata kerana muafakat”.
Sekian, terima kasih.
51

