Page 171 - Modul Pendidikan Moral Tahun 4
P. 171
Aktiviti Pembelajaran (Manual untuk ibu bapa dan guru)
1. Bincangkan maksud toleransi.
• Kamus Bahasa Melayu:
i. Sikap sabar dan bertolak ansur atau berlebih kurang.
ii. Sikap dapat menerima atau menghormati pendapat,
fikiran dan kepercayaan orang lain.
iii. Sama maksud dengan keterbukaan, kelapangan hati,
kelapangan dada, sifat mudah memaafkan.
• Maksud toleransi daripada DSKP:
i. Bertolak ansur, sabar dan mengawal diri demi
kesejahteraan hidup diri dan orang lain.
2. Bersoal jawab tentang contoh amalan toleransi dalam hidup berjiran.
• Adakah amalan menunggu giliran sewaktu menggunakan telefon
awam di kawasan perumahan merupakan contoh amalan
toleransi?
• Adakah amalan saling menyimpan dendam dengan jiran
merupakan contoh amalan toleransi?
3. Justifikasi / penerangan terhadap sesi soal jawab:
• Ya, amalan menunggu giliran adalah salah satu contoh amalan
toleransi hidup berjiran. Kita perlu sabar untuk menggunakan
kemudahan awam di kawasan perumahan. Sekiranya kita tidak
dapat bertoleransi, dan terus memotong barisan, tindakan kita
akan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan jiran.
• Tidak, amalan saling menyimpan dendam bukan contoh amalan
toleransi. Sekiranya jiran telah membuat perkara yang kita
tidak senangi, kita sepatutnya berani menegurnya secara
berhemah. Tambahan pula, sebagai jiran yang bertoleransi,
kita harus cuba untuk memaafkan segala perselisihan faham
sesama jiran.
4. Murid menjawab Latihan Pentaksiran 1.
171

