Page 32 - JALAN PULANG
P. 32
Entah dari mana datangnya semangat. Entah dari mana
datangnya kekuatan. Sukar untuk mempercayai kudrat Pak Long yang
tak sepadan dengan usianya mampu menjadikan kawasan persekitaran
Kota Warisan terang dan bersih. Seperti baru dibuka. Niat suci Pak Long
ini malangnya disalahertikan oleh penduduk kampung.
Mereka menganggap Pak Long sudah hilang akal dan membuat
kerja sia-sia. Begitu juga dengan isteri dan anak-anak. Marah dengan
tindakan Pak Long itu. Malu! Heboh satu kampung. Tapi Pak Long tak
peduli itu semua. Tidak mahu mencari musuh dengan membalas
tohmahan yang dilemparkan. Berpegang teguh pada hidup dalam
kampung adalah mengutamakan silaturrahim dan bermuafakat.
Lagipun Islam melarang umatnya bersengketa sesama sendiri.
Semangatnya tidak luntur. Sama seperti yang dimiliki oleh moyangnya
sewaktu menjadi hulubalang Kota Warisan dulu.
Kota Warisan tak pernah sunyi dengan pelawat, penyelidik dan
pelajar tanpa mengira peringkat menengah atau universiti yang terlibat
dengan bidang sejarah. Adakalanya Pak Long menjadi pemandu
pelancong memberikan penerangan. Ada ketikanya Pak Long menjadi
pemberi maklumat membantu kajian. Pak Long merasa sungguh
seronok. Soal bayaran Pak Long tak kisah langsung. Asalkan mereka
mendengar cerita Kota Warisan.
32

