Page 80 - JALAN PULANG
P. 80
pengharapan. Kawan yang jujur diperlukan dalam perjuangan dan
bukannya musuh dalam selimut atau gunting dalam lipatan.
Ciri-ciri itu ada pada Ali dan Sidik. Moyang Ali pernah berjuang
bersama dengan Dato’ Dol Said menentang British di Naning. Manakala
datuk Sidik pula pernah berjuang bersama dengan Dato’ Maharajalela
menentang British di Perak. Begitu juga dengan Hussin. Ayahnya
pernah berjuang bersama dengan Datuk Onn dan orang-orang Melayu
menentang penubuhan Malayan Union yang diperkenalkan oleh British
selepas Jepun menyerah kalah.
Darah pahlawan mengalir segar ke dalam tubuh Hussin, Ali dan
Sidik.
Hussin mengutip semula kisah perjuangan pahlawan Melayu
seperti Mat Kilau, Datuk Bahaman, Leftenan Adnan dan lain-lain lagi.
Mereka telah berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir demi
menghalau penjajah dan musuh yang cuba menodai tanah air yang
bertuah ini. Kini mereka semua telah tiada. Jasa dan pengorbanan
mereka sewajarnyalah dikenang bersama semangat yang ditinggalkan
harus hidup subur dalam jiwa generasi hari ini untuk meneruskan
perjuangan yang tidak akan ada penghujungnya.
80

