Page 4 - DURIAN TEMBAGA DAN..
P. 4
anak-anak dan cucu-cucunya puas menikmati isi durian tembagnya itu, baharulah Junid
menjualnya kepada mereka yang ingin membelinya. Biasanya, ramai pelanggan datang ke
kebunnya untuk membeli buah durian tembaganya itu.
Kecuali yang datang hendakkan durian tembaganya itu memberi alasan bahawa isterinya
mengidam, maka Junid tidak punya alasan. Lalu Junid menghadiahkan kepadanya sebiji. Dia
tidak jual. Junid tahu, perempuan yang mengidam bukan sekadar perempuan itu yang inginkan
isi durian tembaganya itu, malah anak dalam kandungannya juga inginkan isi durian tembaga itu.
Lalu Junid, sebagai manusia matang, lelaki yang tergolong dalam usia emas, amat memahami isi
hati dan kalbu perempuan yang mengidam. Maka tidak elok baginya meletakkan harga durian
tembaganya kepada perempuan yang mengidam.
Mata Junid kemudian nampak sekujur badan isterinya memasuki kawasan kebun buah-
buahannya itu. Di tangan isterinya itu ada mangkuk tingkat. Dia lalu memandang pada langkah
isterinya yang juga seusia dengannya.
“Puas saya tunggu, awak tak balik,” kata Janah isteri Junid.
Junid senyum.
“Dah gugur buah tu?”. Tanya Janah sambil memandang pada pokok durian tembaga kesayangan
suaminya.

