Page 11 - KPG FASA II final report e isbn
P. 11
LAPORAN KPG PISMP IPG FASA II 2019
BAB 1: PENDAHULUAN
LATAR BELAKANG
Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) anjuran Institut Pendidikan Guru
Malaysia (IPGM) merupakan satu program khusus untuk melatih guru dalam pelbagai
bidang bagi memenuhi keperluan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk
melahirkan guru sekolah rendah yang berijazah. Menerusi kampus Institut Pendidikan
Guru (IPG) di seluruh negara, program ini bukan sahaja bermatlamat untuk melahirkan
guru siswazah sekolah rendah yang terlatih, dinamik, berwibawa dan kompeten dalam
melaksanakan tugas sebagai pendidik bagi memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan
Kebangsaan (FPK) dan Falsafah Pendidikan Guru (FPG), ia juga untuk melengkapkan
bakal guru dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran asas berkaitan dengan profesion
perguruan.
Kajian Pengesanan Graduan (KPG) PISMP Fasa I 2019 telah dilaksanakan pada tahun
2019. Data dikumpulkan pada bulan September 2019 sebelum graduan menghadiri
konvokesyen sebagai syarat untuk menerima transkrip Ijazah. Majoriti graduan PISMP
pada ketika ini masih belum mendapat penempatan. Oleh itu, hanya konstruk berkaitan
penilaian graduan terhadap kualiti sistem pembelajaran dan perkhidmatan di IPG yang
dimasukkan di dalam instrumen soal selidik. Kajian ini telah selesai dilaksanakan dan
Kertas Makluman Laporan KPG PISMP Fasa I 2019 telah dibentangkan dalam
Mesyuarat Pengurusan IPGM pada 22 September 2020.
KPG PISMP Fasa II 2019 telah dilaksanakan pada tahun 2020 selepas graduan
mendapat penempatan di sekolah. Data telah dikumpulkan bermula September hingga
November 2020. Kajian yang dilaksanakan memerlukan graduan menjawab konstruk
yang berkaitan dengan taburan penempatan dan tugas serta tanggungjawab yang
diamanahkan kepada graduan di sekolah. Sistem Pengesanan Graduan (SiSPeG)
telah dibangunkan bagi membolehkan responden menjawab soal selidik secara dalam
talian.
2

