Page 10 - KPG FASA II final report e isbn
P. 10

LAPORAN KPG PISMP IPG FASA II 2019





                 ABSTRAK



                 Kajian Pengesanan Graduan (KPG) Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP)
                 Institut  Pendidikan Guru  (IPG)  Fasa  II  2019  merupakan  kesinambungan  KPG  PISMP
                 Fasa I 2019 yang melibatkan graduan PISMP 2019 yang belum lagi mendapat penempatan
                 di  sekolah.  Kajian  ini  dijalankan  setelah  semua  graduan  PISMP  2019  mendapat
                 penempatan. Objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti maklumat taburan graduan
                 mengikut  IPG,  maklumat  umum  penempatan  graduan  di  sekolah  berdasarkan  tahun
                 penempatan,  negeri,  lokasi,  jawatan  dan  maklumat  penempatan  dan  pengajaran  di
                 sekolah  berdasarkan  mata  pelajaran  opsyen,  mata  pelajaran  elektif,  pelibatan  dalam
                 kokurikulum serta tugas-tugas lain yang diamanahkan kepada graduan. Kajian berbentuk
                 kuantitatif  ini  menggunakan  instrumen  soal  selidik  yang  telah  ditadbir  secara  dalam
                 talian bermula September sehingga November 2020. Kajian ini melibatkan seramai 2,229
                 orang graduan lulusan PISMP ambilan Jun 2015 yang dianugerahkan ijazah pada tahun
                 2019  dan  telah  mendapat  penempatan  di  sekolah.  Seramai  966  orang  graduan  PISMP
                 (43.33%)  daripada  jumlah  keseluruhan  graduan  PISMP  2019  daripada  pelbagai
                 pengkhususan  telah  melengkapkan  borang soal  selidik  ini. Kajian mendapati,  maklum
                 balas  yang  diterima  daripada  graduan  berdasarkan  kampus  IPG  adalah  sekitar  31.5%
                 hingga 58.7%. Majoriti graduan iaitu seramai 913 orang (94.5%) menerima penempatan
                 pada 2019, dan selebihnya (53 orang, 5.5%) menerima penempatan pada tahun 2020. Dari
                 segi negeri penempatan, dapatan kajian menunjukkan bahawa negeri Selangor menerima
                 bilangan responden paling tinggi (234 orang, 24.7%), diikuti oleh Johor (142 orang,14.7%),
                 Sarawak (134 orang,13.9%) dan Sabah (123 orang,12.7%). Lokasi kawasan bandar menjadi
                 tumpuan  penempatan  sebilangan  besar  graduan  iaitu  seramai  597  orang  (61.8%),
                 manakala selebihnya (369 orang, 38.2%) ditempatkan di luar bandar. Dari segi perjawatan
                 pula, 6 orang graduan (0.6%) diberi kepercayaan untuk menjadi pentadbir dan 960 orang
                 (99.4%)  bertugas  sebagai  guru  akademik.  Merujuk  kepada  maklumat  pengajaran  di
                 sekolah pula, kajian mendapati 607 orang (62.8%) diamanahkan untuk mengajar mata
                 pelajaran opsyen, manakala 519 orang (53.7%) pula mengajar mata pelajaran elektif yang
                 diikuti semasa di IPG. Kajian juga mendapati hanya sebahagian graduan terlibat dalam
                 aktiviti  kokurikulum  apabila  hanya  607  orang  (62.8%)  dilantik  menjadi  penasihat
                 sukan/permainan,  542  orang  (56.1%)  diberi  tanggungjawab  sebagai  penasihat  unit
                 beruniform  dan  445  orang  (45.1%)  diberi  tanggung  jawab  sebagai  penasihat
                 kelab/persatuan. Dari aspek kokurikulum pula, kajian mendapati bahawa graduan juga
                 dikehendaki mengendalikan unit kokurikulum yang tidak disertai ketika di IPG. Namun
                 demikian,  majoriti  graduan  menyatakan  bahawa  mereka  tidak  menghadapi  masalah
                 dalam mengendalikan unit kokurikulum yang tidak dilatih semasa mengikuti pengajian
                 di IPG. Selain tugas sebagai guru akademik dan penasihat kokurikulum, graduan juga
                 dipertanggungjawabkan  dengan  tugas-tugas  akademik  yang  lain  daripada  yang
                 disenaraikan  seperti  Setiausaha  Latihan  Dalam  Perkhidmatan  (SULDP)  (79  orang,
                 25.6%), Guru/ Pembantu Guru Kelas/ Akademik (46 orang, 14.9%) dan Guru/ Penyelaras/
                 Setiausaha bagi aktiviti akademik seperti PBS, PAK-21 (33 orang, 10.7%) dan lain-lain
                 (150  orang,  48.8%).  Dapatan  kajian  kajian  ini  menyumbang  maklumat  kepada  pihak
                 pembuat keputusan di IPG KPM untuk membuat penambahbaikan berdasarkan cadangan
                 yang  dikemukakan  daripada  hasil  penemuan  kajian  ini.  Antara  cadangan
                 penambahbaikan adalah menambah baik aspek penawaran opsyen dan elektif bagi pelajar
                 IPG agar lebih memenuhi keperluan di sekolah serta mempertimbangkan cadangan untuk
                 meningkatkan  kemahiran  graduan  menerusi  program  latihan  dan  praktikal  yang
                 ditambahbaik.

                                                                                                               1
   5   6   7   8   9   10   11   12   13   14   15