Page 103 - e-Buletin FSK Edisi November Bil. 01 / 2021
P. 103
komentar
cabaran dan masalah perlu dicari agar individu dapat hidup dengan lebih tenang. Kebimbangan untuk
mendapatkan bantuan selain salah anggap masyarakat terhadap kemurungan menyebabkan segelintir
individu tidak mendapat rawatan awal. Ini ditambah dengan tiadanya sokongan sosial dalam masyarakat
untuk menangani permasalahan ini akibat dari wujudnya stigma sosial yang besar berkaitan penyakit
mental.
Ini berpunca daripada kefahaman masyarakat serta budaya sedia ada yang dibentuk oleh kepercayaan
tahyul dan salah faham tentang isu kemurungan dan penyakit mental itu sendiri. Persepsi yang negatif ini
menyebabkan pesakit memilih untuk merahsiakan masalah penyakit yang dihidapi menyebabkan mereka
menderita dalam senyap. Ramai yang menderita dengan masalah kemurungan enggan mendapatkan
rawatan disebabkan malu dan merasakan mereka tidak sakit. Kebanyakannya lebih gemar menyimpan
masalah, tidak mahu berkongsi dengan keluarga atau rakan sehingga akhirnya tekanan sukar dikawal.
Jika masalah kemurungan ini berlarutan, ia boleh membawa kepada masalah kesihatan mental yang
kronik. Kesannaya mereka dalam keadaan tanpa sedar akan bertindak ganas dengan mencederakan diri
sendiri.
Bagi pesakit yang mengalami kemurungan, meluahkan apa yang terbuku di hati mungkin jalan terbaik
untuk melegakan perasaan atau emosi. Apa yang diperlukan bukan sahaja bertemu dengan doktor atau
pakar berkenaan, tetapi pesakit juga perlu berkomunikasi atau menyampaikan perasaan mereka kepada
orang yang tersayang. Komunikasi yang baik akan adalah satu bentuk terapi yang amat penting bagi
membantu pesakit untuk pulih. Sesetengah masyarakat berpandangan bahawa masalah kemurungan ini
adalah salah satu penyakit yang berpunca dari minda. Namun kemurungan boleh wujud tanpa disedari
dan ia berlaku disebabkan tekanan hidup yang bercampur dari aspek emosi sehingga menghimpit
kehidupan tanpa ada jalan penyelesaian. Selain itu, ramai juga pengidap kemurungan yang tidak tahu ke
mana harus mereka pergi untuk mendapatkan bantuan selain adanya stigma yang memandang dan
meletakkan persepsi yang negatif dengan melabel dengan penyakit gila dan sebagainya.
Bagi mengatasi masalah kemurungan salah satu cara adalah memupuk konsep pemikiran positif dalam
diri sendiri. Ia sangat penting untuk menghadapi cabaran dan masalah. Konsep pemikiran positif dapat
diterapkan kefahaman terhadap konsep nilai, keikhlasan dan kesyukuran. Selain itu amalan gaya hidup
yang seimbang adalah penting untuk mengekalkan perkembangan kehidupan yang positif. Selain itu,
masyarakat sekeliling juga perlu diberikan kesedaran bahawa semua pihak bertanggungjawab membantu
individu yang berada dalam krisis gangguan kesihatan mental. Pesakit tidak seharusnya dibiarkan,
sebaliknya ahli keluarga atau rakan perlu membawa mereka bertemu pakar psikiatri secepat mungkin.
Selain diberikan didikan tentang kesihatan mental, masyarakat juga perlu didedahkan tentang cabaran
dan kesukaran yang dihadapi pesakit. Ini membantu masyarkat sekeliling untuk bukan sahaja memahami,
malah dapat menghulurkan bantuan dan sokongan bila diperlukan. Pelbagai kempen berkait antistigma
dan program pendidikan awam mengenai gejala-gejala, pencegahan dan rawatan bagi masalah depresi
atau penyakit mental boleh diadakan. Pihak kerajaan dan badan swasta atau juga NGO boleh memainkan
peranan bersama dalam isu ini.
78

