Page 73 - e-Buletin FSK Edisi November Bil. 01 / 2021
P. 73
RENCANA
PERANAN KERAJAAN DALAM MENANGANI KESIHATAN
MENTAL KETIKA PENULARAN COVID-19
Oleh: Mohd Razali Harun
Masalah mental merupakan masalah kesihatan yang boleh berlaku kepada mana-mana individu tanpa
mengira etnik, agama, jantina dan status sosial seseorang. Secara umumnya masalah kesihatan mental
berkaitan dengan kesihatan emosi, psikologi dan sosial. Ia juga melibatkan perubahan tindakan, cara
bertingkah laku, cara berfikir dan sebagainya. Selain itu, masalah kesihatan mental ini boleh berlaku
kepada individu di semua peringkat umur, kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas. Isu kesihatan
mental di Malaysia semakin meningkat apabila dunia dilanda penularan Covid-19. Dasar Kesihatan Mental
Negara mentakrifkan kesihatan mental ialah kemampuan individu, kelompok dan persekitaran berinteraksi
antara satu sama lain bagi mempromosi kesejahteraan subjektif serta fungsi yang optima dan penggunaan
keupayaan kognitif, efektif dan perhubungan ke arah pencapaian matlamat individu dan kumpulan yang
selari dengan keadilan.
Masalah kesihatan mental semakin tinggi semenjak negara berhadapan dengan krisis kesihatan
Covid-19. Akhbar Harian Metro pada 21 Mei 2021 melaporkan bahawa Menteri Kesihatan mendedahkan
Sebanyak 85.5 peratus daripada 145,173 panggilan diterima agensi kerajaan sejak 25 Mac 2020 hingga
20 Mei 2021 adalah membabitkan isu kesihatan mental yang memerlukan sokongan emosi dan kaunseling
seperti stres akut, keresahan, kemurungan, penderaan dan tingkah laku bunuh diri. Isu berkaitan masalah
kesihatan mental semasa penularan Covid-19 telah dibangkitkan beberapa kali di Dewan Rakyat pada
Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga, Parlimen Keempat Belas. Ini menunjukkan anggota parlimen prihatin
mengenai isu kesihatan mental ini walaupun isu-isu lain sering kali dibangkitkan di Dewan Rakyat
terutama berkaitan dengan kesan penularan Covid-19. Ini secara tidak langsung memberi mesej jelas
kepada pihak kerajaan untuk memberikan perhatian serius kepada masalah kesihatan mental selain
masalah kesihatan fizikal. Pihak kerajaan memberikan jaminan di Dewan Rakyat untuk membuat
penambahan pakar-pakar psikiatri dan therapist psikologi untuk memberikan rawatan kepada pesakit
mental di negara ini.
Antara langkah terbaik untuk menangani masalah kesihatan mental ini ialah melalui strategi
pendidikan. Masyarakat pelbagai peringkat perlu diberikan maklumat yang sewajarnya melalui pelbagai
medium supaya mereka mempunyai kesedaran mengenai kesihatan mental yang semakin meningkat di
negara ini. Dalam hal ini saluran rasmi Radio dan televisyen kerajaan perlu digunakan semaksimum
mungkin untuk menyampaikan maklumat kesihatan mental kepada masyarakat. Selain itu, Dasar
Kesihatan Mental Negara yang sedia ada perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin supaya pesakit
mental mendapat layanan dan rawatan sewajarnya sekali gus menurunkan kadar pesakit mental yang
semakin meningkat ketika penularan Covid-19. Tumpuan juga perlu diberikan kepada Frontliner yang
bertugas dalam menangani krisis Covid-19 yang mana mereka berhadapan dengan tekanan tinggi kerana
terpaksa bertugas melebihi waktu sebenar.
Masalah kesihatan mental ini sebenarnya berlaku akibat masalah kehidupan lain seperti masalah
kewangan, pengangguran, masalah rumah tangga dan sebagainya. Pihak kerajaan sepatutnya
memberikan perhatian kepada isu pokok yang menjadi penyebab utama berlakunya peningkatan masalah
mental terutama ketika penularan Covid-19 ini. Masalah kewangan, ketiadaan sumber pendapatan dan
kekangan proses pendidikan anak-anak merupakan isu pokok yang perlu diselesaikan segera oleh pihak
kerajaan secara tuntas.
51

