Page 19 - KSSM PENDIDIKAN MORAL TINGKATAN 2
P. 19
KSSM PENDIDIKAN MORAL TINGKATAN 2
Di samping itu, elemen perpaduan turut diterjemahkan secara
eksplisit dalam kurikulum Pendidikan Moral. Ia dijelmakan melalui
tiga konstruk utama perpaduan iaitu menerima, menghormati dan
mengurus kepelbagaian. Setiap konstruk utama pula mempunyai
subkonstruk masing-masing yang sebenarnya merupakan elemen
perpaduan yang perlu dipupuk dalam kalangan murid.
Subkonstruk menerima kepelbagaian merujuk kepada murid yang
boleh bersikap terbuka, bertoleransi, percaya dan sanggup
bekerjasama walaupun berbeza agama, bangsa, budaya dan
bahasa. Manakala subkonstruk menghormati kepelbagaian
merujuk kepada murid yang boleh mengamalkan sikap atau
tingkah laku yang berhemah tinggi, menghargai dan prihatin
walaupun berbeza agama, bangsa, budaya dan bahasa.
Seterusnya subkonstruk mengurus kepelbagaian pula merujuk
kepada murid yang boleh mengamalkan sikap atau tingkah laku
yang amanah, adil dan rasional walaupun berbeza agama,
bangsa, budaya dan bahasa.
Guru-guru yang mengajar mata pelajaran ini hendaklah
menyesuaikan elemen ini dengan nilai atau tajuk yang berkaitan
dengan perpaduan tanpa mengubah disiplin ilmu dan
kandungan mata pelajaran ini secara langsung atau sisipan.
7

