Page 5 - SEDIA SMKDDS
P. 5
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Setinggi-tinggi ucapan terima kasih saya tujukan kepada pihak sekolah kerana memberikan ruang kesempatan
kepada saya untuk menyampaikan sepatah dua kata dalam Majalah Sekolah bagi Tahun 2021.
Sekalung ucapan tahniah saya rakamkan buat warga sekolah, khususnya Sidang Redaksi Majalah Sekolah SEDIA
2021 yang telah berjaya menerbitkan Majalah Sekolah bagi tahun 2021. Bagi pihak Kementerian Pendidikan Malaysia,
segala komitmen dan sumbangan warga sekolah yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam penerbitan
majalah ini amat dihargai dan disanjung tinggi.
Pendidikan di Malaysia pada masa ini sedang mengalami satu perubahan yang amat drastik seiring dengan kemajuan
pendidikan di peringkat global. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 merupakan pelan pembangunan
pendidikan yang komprehensif dan holistik dalam membina modal insan yang mampan dan berdaya saing.
Malangnya, tahun 2021 Malaysia dikejutkan dengan penularan wabak Coronavirus Covid-19 sehingga menyebabkan
seluruh warga pendidik dan murid terperangkap dalam kancah berisiko ini. Refleksi daripada pandemik ini
menyebabkan warga pendidik dan murid terpaksa menjalani pengajaran dan pembelajaran secara talian. Pelbagai
teknik dan kaedah pembelajaran berasaskan komputer dan maya perlu dilalui, dan hikmahnya seluruh warga
pendidik dan murid semakin mahir dalam penggunaan untuk pengajaran dan pembelajaran.
Dalam mencapai aspirasi murid yang unggul, proses membina ilmu perlulah seiring dengan usaha menyempurnakan
akhlak setiap modal insan. Amalan dengan memberi sapaan dan laluan juga menitikberatkan tentang kebersihan
merupakan elemen yang perlu dipraktiskan oleh setiap anak didik sejak di bangku sekolah rendah lagi. Nilai-nilai
murni yang sejagat ini perlu diberi fokus utama agar generasi yang dididik pada hari ini akan menjadi insan yang
berilmu, berkemahiran tinggi dan mempunyai sahsiah terpuji.
Akhir kata, saya mendoakan kesejahteraan buat semua warga sekolah dan murid-murid untuk terus berusaha
mencipta kejayaan. Bersama-samalah kita membulatkan tekad dan berusaha gigih untuk memastikan pendidikan di
Malaysia berada di puncak kegemilangan.
Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak.
YANG BERHORMAT DR. RADZI BIN JIDIN
MENTERI KANAN PENDIDIKAN MALAYSIA
"PENDIDIKAN ITU KEGEMBIRAAN, PENDIDIKAN ITU KEBAJIKAN"

