Page 44 - BUKU PERANCANGAN SEKOLAH 2020
P. 44
Senarai Tugas Dan Amanah Staf 2020
Akses 100% enrolmen merentas semua peringkat pendidikan daripada prasekolah
hingga menengah atas menjelang tahun 2020
Setiap kanak-kanak warganegara Malaysia berhak mendapat kesamarataan peluang
pendidikan bagi membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing. Kementerian
berhasrat memastikan kadar akses sejagat dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat
prasekolah hingga ke peringkat menengah atas (Tingkatan 5)menjelang 2020.
Kualiti Negara dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa
seperti TIMSS dan PISA dalam tempoh 15 tahun
Semua kanak-kanak akan berpeluang mendapat pendidikan cemerlang berdasarkan
keunikan sistem pendidikan di Malaysia, dan setanding dengan sistem pendidikan
antarabangsa. Aspirasi sistem pendidikan negara adalah untuk meletakkan Malaysia
dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa mengikut
pengukuran TIMSS dan PISA dalam tempoh 15 tahun yang akan datang (TIMSS dan
PISA menguji Bacaan, Matematik dan Sains sahaja). Pentaksiran tambahan yang
menangani dimensi kualiti lain yang relevan dengan konteks Malaysia boleh
dimasukkan apabila dimensi itu dibangunkan dan diterima di peringkat antarabangsa.
Ekuiti 50% pengurangan dalam jurang pencapaian (bandar-luar bandar, sosioekonomi,
gender) menjelang tahun 2020
Sistem pendidikan berprestasi tinggi menyediakan pendidikan yang terbaik kepada
setiap kanak-kanak tanpa mengira kedudukan geografi, gender atau latar belakang
sosioekonomi. Kementerian berhasrat untuk merapatkan lagi jurang pencapaian antara
murid bandar dengan luar bandar, tahap sosioekonomi dan pencapaian antara gender
sehingga 50% menjelang 2020.
Perpaduan Sistem pendidikan yang menawarkan perkongsian pengalaman dan nilai kepada
kanak-kanak dengan menghargai kepelbagaian
Murid yang berusia antara 7 hingga 17 tahun menghabiskan lebih satu perempat
daripada masa mereka di sekolah. Melalui interaksi bersama murid lain daripada
pelbagai latar belakang sosioekonomi, agama dan etnik, murid belajar memahami,
menerima dan menghayati perbezaan. Keadaan ini mewujudkan suatu perkongsian
pengalaman dan aspirasi bagi membina masa hadapan Malaysia. Kementerian
berhasrat menjana suatu sistem pendidikan yang memberi peluang kepada murid
berkongsi pengalaman dan aspirasi demi membentuk dan memperkukuhkan lagi asas
perpaduan rakyat Malaysia.
Kecekapan Sistem yang memaksimumkan keberhasilan murid mengikut peruntukan sedia
ada
Sistem pendidikan Malaysia telah menerima peruntukan yang tinggi, namun
peningkatan keberhasilan murid masih tidak sepadan dengan sumber yang telah
disalurkan ke dalam sistem. Walaupun Kerajaan akan terus mengekalkan tahap
pelaburan semasa, Kementerian berhasrat untuk memaksimumkan keberhasilan murid
mengikut tahap peruntukan semasa.
ASPIRASI MURID
KEE6016 SMK Mahsuri, Langkawi 44

